Serang Jemaah Sedang Ambil Wuduk, PATI Ditahan di Tawau

Share the news

Tawau, 8 Julai 2025 – Seorang lelaki warga asing tanpa dokumen sah ditahan polis selepas bertindak ganas menyerang seorang jemaah yang sedang mengambil wuduk di sebuah masjid di Jalan Damai, baru-baru ini.

Dalam kejadian mengejut itu, mangsa dipercayai diserang dari arah belakang sebelum dipukul sebanyak tiga kali di kepala dan ditumbuk di muka, dipercayai berpunca dari rasa tidak puas hati suspek terhadap teguran mangsa terhadap kanak-kanak sebelum itu, termasuk anak suspek yang sering mengganggu jemaah ketika solat.

Kejadian tersebut mencetuskan kekecohan dalam kalangan jemaah masjid dan mendorong mangsa membuat laporan polis atas faktor keselamatan diri.

Hasil maklumat orang awam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan berdekatan.

Siasatan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Suspek kini ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan), serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak melulu dan segera menyalurkan sebarang maklumat berhubung insiden jenayah kepada pihak berkuasa bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Sumber, Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal