Lahad Datu, 5 Julai 2025 – Seorang lelaki berusia 28 tahun maut dalam pertembungan dengan sebuah lagi motosikal di Simpang Kampung Bangkarat, Jalan Lahad Datu-Tungku, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah bandar Lahad Datu dipercayai secara tiba-tiba mengubah haluan ke kiri menuju ke Projek Jeti Nelayan. Pergerakan itu menyebabkan sebuah motosikal Yamaha R15 yang ditunggang lelaki berusia 25 tahun di lorong sama gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.
Impak perlanggaran mengakibatkan motosikal Yamaha R15 terbabas ke bahu jalan, manakala mangsa tercampak dan terseret di lorong kiri jalan menuju ke Tungku.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.27 pagi di Wad 4 hospital berkenaan, sementara penunggang Yamaha R15 pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, memaklumkan bahawa siasatan awal dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 41(1) akta sama susulan kematian mangsa.
Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Humaidi bin Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Pihak polis turut mengingatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, agar lebih berhemah dan peka terhadap persekitaran bagi mengelakkan tragedi seumpama ini.
Sumber, Kenyataan Media