Seorang Lelaki Ditemui Lemas dalam Kejadian Bot Karam di Sungai Kinabatangan

Gambar Karam Kinabatangan

KINABATANGAN: 21 Julai 2025 – Aktiviti memancing empat sahabat bertukar tragedi apabila bot yang mereka naiki karam di Sungai Ladang Temenggong, mengakibatkan seorang daripada mereka maut dalam kejadian yang berlaku kelmarin.

Mangsa, Adzly Kassim, 46, ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira jam 6.30 petang, lebih kurang 15 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang. Penemuan dibuat oleh penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian dilaporkan jam 11.49 pagi selepas pihaknya menerima maklumat dari Balai Polis Kinabatangan mengenai insiden bot karam membabitkan empat lelaki yang sedang memancing.

Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, diketuai Pegawai Bomba Kanan II Jerry John, digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 115 kilometer menggunakan jentera pacuan empat roda dan tiba sekitar jam 3 petang.

Daripada empat mangsa, tiga berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi gagal dikesan dan disyaki lemas.

Operasi pencarian kaedah teknik pencarian permukaan (surface searching) digunakan dengan bantuan bot milik penduduk kampung, disertai tiga anggota polis dan 20 orang awam.

Mangsa yang berjaya ditemui dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis sebelum diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 malam.

Kejadian ini sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, terutama ketika melakukan aktiviti air.

Sumber: Sabah Dimensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal