KUALA LUMPUR, 28 Mac 2025 — Seorang lelaki dikejarkan ke hospital setelah dilaporkan terjatuh dari tingkat 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman di Jinjang hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 12.30 tengah hari. Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun, dilaporkan terjatuh dan menghempap sebuah kereta yang berada di kawasan parkir.
“Mangsa masih dalam keadaan sedar ketika diambil dan telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” ujar beliau.
Beberapa klip video mengenai kejadian tersebut telah tular di media sosial, memaparkan mangsa yang sedang menahan kesakitan selepas terjatuh. Video tersebut turut menunjukkan mangsa masih bergerak dan sedar walaupun bumbung kereta yang dihempapnya mengalami kerosakan teruk.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan bagaimana mangsa boleh terjatuh.