Tuesday, December 24, 2024

SEMESTA platform mahasiswa Sabah suarakan pendapat, idea

KOTA KINABALU: Para mahasiswa dari Sabah kini mempunyai platform untuk menyuarakan pandangan, idea dan cadangan untuk membantu membangun negeri ini menerusi Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA).

Semesta dilancarkan hari ini (Isnin) oleh kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di mana ia akan menaungi persatuan-persatuan mahasiswa Sabah di seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

“Penubuhan SEMESTA akan dikembangkan ke luar negara bagi menyantuni para pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di luar Malaysia. SEMESTA akan memberi manfaat kepada semua mahasiswa Sabah melalui penyaluran informasi mengenai dasar-dasar kerajaan negeri yang tepat.

“Penting bagi mahasiswa memahami usaha-usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan modal insan di negeri ini,” katanya ketika melancarkan SEMESTA di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini Isnin.

Menurut Hajiji, beliau sudah mengumumkan hasrat penubuhan Semesta dalam satu majlis bersama pelajar-pelajar Sabah di Semenanjung pada bulan April lalu. Hasrat ini telah dapat direalisasikan dan hari ini ia dilancarkan.

Ketua Menteri mengumumkan hasrat penubuhan SEMESTA dalam Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi IPT yang dihadiri lebih 1,000 mahasiswa Sabah di Setia City Convention Centre Kuala Lumpur pada 18 bulan April lalu.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat dengan kebajikan dan keperluan mahasiswa Sabah sama ada di dalam mahupun luar negara kerana mereka inilah yang akan meneruskan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” tambahnya.

Untuk itu kata Hajiji kerajaan melaksanakan beberapa program bantuan pendidikan di bawah Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM35 juta pada tahun ini.

Pelajar golongan B40 diberi keutamaan dengan membiayai pendaftaran mereka IIPT. Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) ini diperkenalkan pada tahun lalu untuk membantu meringankan beban pelajar yang baru menginjak kaki ke menara gading.

Hajiji berkata bagi bantuan BUDI, bantuan sebanyak RM1,500 diberi kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan matrikulasi manakala RM2,000 untuk pengajian di peringkat Ijazah.

“Setakat ini seramai 2,669 daripada kira-kira 5,000 permohonan diluluskan membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta. Selain BUDI, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang menyasarkan pelajar Sabah dari golongan e-kasih yang sedang belajar di IPT dan tidak berkemampuan untuk membeli komputer juga mendapat perhatian.

“Setakat ini seramai 325 pelajar mendapat manfaat melalui bantuan ini dengan sasaran keseluruhan seramai 560 orang,” katanya.

Bantuan lain yang disediakan kerajaan ialah Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) untuk anak-anak yang lahir tahun 2022.

Sehubungan itu, Hajiji mahu semua inisiatif pendidikan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya demi meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan negeri ini.

“Kerajaan negeri memberi bantuan pendidikan dari seawal bayi yang baru lahir hinggalah untuk meneruskan pengajian ke IPT di dalam atau luar negara,” katanya.

Di majlis itu, Hajiji turut menyampaikan bantuan BAIK kepada pelajar IPT dan bantuan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) kepada empat penerima.

Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri,Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights