Selepas emas ASEAN, Ivan Sasar Los Angeles

photo 6312181124628680203 y e1769401001694

Oleh : Bavilia Sandra Vitus

KOTA KINABALU: 26 Januari 2026 — Kejayaan atlet para pecut negara, Ivan Jovic Suan, meraih pingat emas dalam acara 200 meter pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 dilihat sebagai hasil perancangan latihan yang tersusun dan berfasa sejak awal persediaan.

photo 6320913858293338213 y 2 edited
Victor ( kanan ) bersama Josephen

Bapanya merangkap jurulatih, Victor Suan Orow, 49, yang berasal dari Tuaran, menjelaskan bahawa sasaran utama pasukan kejurulatihan sejak awal lagi adalah untuk memastikan Ivan berada pada tahap prestasi optimum ketika APG.

Menurutnya, persediaan bermula seawal Oktober 2025 menerusi fasa persiapan am selama 12 minggu, yang menumpukan peningkatan asas fizikal dan teknikal secara berperingkat.

photo 6320913858293338212 y edited
Ivan bertanding MSSD Tuaran 2024

“Prestasi Ivan menunjukkan peningkatan konsisten sepanjang fasa persediaan. Berdasarkan pemantauan latihan, sasaran untuk mencapai kejayaan di APG telah ditetapkan sejak awal dan berjaya direalisasikan,” katanya ketika ditemui.

Selepas kejayaan di APG, Ivan, yang juga dikenali sebagai “The Flying Lotud”, kini dijadual melalui fasa transisi sebelum memulakan kitaran latihan baharu sebagai persiapan menghadapi Kejohanan World Para di Nagoya, Jepun, yang akan menjadi medan penting penilaian prestasi di peringkat antarabangsa.

photo 6320913858293338211 x 1
Josephen ( Ibu Ivan), Ivan, kakak , abang , Victor (Bapa Ivan)

Mengulas latar belakang penglibatan Ivan dalam sukan olahraga, Victor memaklumkan bahawa pendedahan awal kepada dunia sukan banyak dipengaruhi persekitaran keluarga yang aktif dalam bidang tersebut. Kedua-dua ibu bapanya merupakan bekas pelari pecut peringkat negeri dan negara,iaitu ketika beliau pernah mewakili Sabah Sukma 1998 manakala isterinya Josephen Maria mewakili Negara Sea Games 2001 KL 4×100 Bronze medal.Kedua-dua adik-beradiknya pula turut aktif sebagai atlet olahraga negeri.

photo 6320913858293338221 x 1
Ivan ketika berumur 17 tahun

Pendekatan latihan Ivan turut menitikberatkan keseimbangan antara akademik dan sukan, dengan disiplin pengurusan masa dijadikan asas utama dalam perancangan harian.

Menurut Victor, cabaran terbesar adalah memastikan setiap atlet menerima program latihan yang bersesuaian dengan keperluan dan kapasiti fizikal masing-masing, terutama apabila melibatkan atlet para yang memerlukan pemantauan bebanan latihan secara teliti.

photo 6320913858293338214 y
Ivan ketika sedang membuat latihan

Dari segi perancangan jangka panjang, tumpuan utama kini adalah ke arah Sukan Paralimpik Los Angeles 2028, yang dijangka menjadi kemuncak prestasi Ivan.

Berdasarkan analisis prestasi semasa, Ivan disasarkan untuk mencapai catatan masa bawah 11.2 saat sebagai penanda aras daya saing di peringkat Paralimpik, dengan rekod dunia kini berada pada 10.92 saat dipegang oleh Mpumelelo Mlongo dari Afrika Selatan .

“Kejohanan-kejohanan sebelum LA 2028 akan digunakan sebagai platform penilaian dan penambahbaikan prestasi. Sasaran utama adalah memastikan Ivan mencapai prestasi puncak pada waktu yang tepat,” jelasnya.

Ivan ketika juara para SUKMA 2022 Sarawak

Untuk rekod, Ivan Jovic Suan merupakan Juara Para SUKMA 2022 di Sarawak, selain mencipta rekod baharu acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter. Beliau turut meraih pingat gangsa acara 100 meter T44 pada Kejohanan World Para Athletics Grand Prix di India pada tahun 2024.

photo 6323165658107022912 y

Kejayaan terbaharu di APG 2025 sekali gus mengukuhkan kedudukan Ivan sebagai antara prospek utama negara dalam acara pecut para, dengan pendekatan latihan berstruktur dan pembangunan akar umbi dilihat sebagai faktor penting dalam pembentukan atlet bertaraf dunia.

Cap gambar utama : Ivan melepasi garis penamat sekaligus meraih emas pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal