Friday, April 11, 2025

Sekolah, badan bukan Islam Sabah tidak akan diabai

Nizam (tiga kiri) menyampaikan bantuan kewangan kepada institusi pendidikan di majlis itu.

TAWAU: Sekolah dan badan agama bukan Islam di zon Tawau menerima bantuan sebanyak RM3.78 juta daripada kerajaan negeri. Daripada jumlah itu RM2.6 juta diperuntuk bagi sekolah dan RM1.189 juta lagi untuk badan agama bukan Islam.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini adalah bukti bahawa kerajaan prihatin terhadap keperluan dan kebajikan institusi bukan Islam.

“Kerajaan Negeri Sabah tidak akan berhenti untuk memberi bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam setiap tahun,” katanya di majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan negeri kepada sekolah dan badan bukan keagamaan Islam tahun 2022 bagi Zon Tawau di Dewan SJK (C) Kung Ming, pada Isnin.

Sebanyak 40 sekolah pelbagai kategori dan 30 badan bukan keagamaan termasuk kuil hindu dan sikh menerima bantuan kewangan itu. Zon Tawau meliputi daerah Kunak, Lahad Datu dan Semporna.

Nizam yang juga wakil rakyat Apas berkata, nilai bantuan kewangan itu akan ditambah setiap tahun mengikut keperluan institusi yang terlibat.

“Semoga dengan bantuan kewangan yang diagihkan atas keprihatinan kerajaan ini memberi manfaat untuk meringankan beban, membangun dan membaiki serta menaiktaraf organisasi-organisasai terlibat,” katanya.

Katanya, institusi pendidikan amat penting diberi perhatian kerana mereka melahirkan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan yang akan memacu pembangunan negeri selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya.

Turut hadir Adun Balung Datuk Hamild Awang dan Pegawai Khas Ketua Menteri, Lo Su Fui.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights