Sebaran Fitnah dan Berita Palsu Ancam Keselamatan Negara

KUALA LUMPUR: 8 Ogos 2025 – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggesa rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada terhadap penyebaran fitnah dan berita palsu yang kini dianggap sebagai ancaman utama kepada keselamatan negara.

Menurut Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, amalan menyebarkan maklumat tidak benar ini berpotensi merosakkan pemikiran, meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi serta menjejaskan kestabilan negara.

Dalam sesi Sharing Knowledge Friday di Angkasapuri Kota Media, beliau menekankan bahawa budaya fitnah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi yang selama ini menjadi tunjang kestabilan negara.

“Demokrasi hanya lancar jika rakyat ada kepercayaan kukuh,” jelas beliau.

Selain ancaman dalaman, Raja Datuk Nushirwan turut mengingatkan mengenai ancaman keselamatan dari luar negara, terutama yang mungkin tercetus semasa demonstrasi.

Walaupun Malaysia diiktiraf sebagai antara negara paling selamat di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global, situasi keselamatan global yang tidak menentu menuntut kewaspadaan berterusan.

Sehubungan itu, Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 dan konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) digerakkan secara bersepadu merentasi pelbagai sektor.

Pendekatan integrasi dalam dasar, strategi, operasi, dan pengurusan sumber menjadi teras utama dalam usaha memperkukuh keselamatan negara.

MKN akan terus memantau dan mengambil tindakan untuk menghentikan gerakan yang memanfaatkan fitnah dengan niat jahat. Kenyataan ini menggariskan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negara terus terpelihara.

Sumber: Berita RTM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal