PENAMPANG: 20 Oktober 2025 – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menyatakan kesediaannya untuk mengundurkan diri dari Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berkaitan pembayaran semula hasil 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen UPKO Bahagian Penampang, kelmarin.
Terdahulu, konvensyen tersebut meluluskan resolusi supaya Ewon mengundurkan diri dari Kabinet Persekutuan sekiranya AGC tetap memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.
“UPKO memberikan penghormatan dan penghargaan tinggi kepada Sabah Law Society (SLS) atas kejayaan mendapatkan penghakiman yang mengiktiraf hak 40 peratus sebagai hak perlembagaan Sabah.
“UPKO juga menegaskan supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah memuktamadkan persetujuan dalam tempoh 180 hari berkenaan pelaksanaan hak tersebut sepertimana penghakiman Mahkamah tersebut,” katanya.
Ewon menegaskan bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap usul yang diluluskan dalam konvensyen parti berkenaan.
Menurutnya, mesyuarat Kabinet minggu depan (Jumaat) akan menjadi medan beliau untuk menyatakan pendirian rasmi UPKO, iaitu supaya Kerajaan Persekutuan mengarahkan Pejabat Peguam Negara tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Ewon berkata, Perdana Menteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri serta ahli-ahli Kabinet sudah maklum dengan syor beliau agar AGC tidak memfailkan rayuan melalui platform media perbincangan Kabinet, memandangkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dikeluarkan selepas mesyuarat Kabinet dua hari lalu.
“Selepas ini, saya akan membawa perkara itu ke mesyuarat minggu depan supaya resolusi dan pendirian parti direkodkan secara rasmi dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sekiranya dalam tempoh 30 hari ini rayuan masih difailkan, beliau akan bertanggungjawab terhadap resolusi parti dengan mengundurkan diri dari Kabinet Persekutuan.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal hak Sabah dan soal prinsip. Saya tidak dapat menyokong keputusan lain atau tindakan lain yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
“Dalam Perlembagaan Parti, Fasal 5 dengan jelas menyatakan komitmen untuk mempertahankan asas dan semangat penubuhan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara,” katanya.
Ewon turut menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah mengiktiraf hak 40 peratus tersebut sebagai hak perlembagaan Sabah, dan sekiranya wujud sebarang keputusan yang bercanggah dengan penghakiman itu, beliau tidak dapat meneruskan sokongan terhadap keputusan berkenaan.
“Saya bersedia untuk mengundurkan diri dari Kabinet Persekutuan demi menghormati dan mempertahankan hak perlembagaan Sabah serta semangat penubuhan Malaysia,” tegasnya.