Samseng jalanan bawa air ketum ditahan, 50 diperiksa

IMG 2252

KOTA MARUDU : 22 Mac 2026 – Kegiatan samseng jalanan di Jalan Sumbilingon terbongkar apabila beberapa individu ditahan bersama cecair disyaki air ketum, awal pagi tadi.

Pemeriksaan sekitar jam 12.30 tengah malam menemukan pelbagai kesalahan lalu lintas, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal yang terlibat aktiviti berbahaya di jalan raya.

Lebih mengejutkan, pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan membawa kepada penemuan satu kotak polisterin mengandungi empat botol minuman berisi cecair hijau air ketum, dengan anggaran 1,500 mililiter setiap satu.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan lain turut menemukan dua lagi botol minuman mengandungi cecair sama.

Dalam operasi sama, sebanyak dua motokar, empat motosikal, 14 kenderaan pacuan empat roda dan 50 orang diperiksa.

Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut, manakala barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1957 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simiun Lomudin, menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan dan penyalahgunaan bahan terlarang.

Polis turut memberi amaran agar orang ramai tidak menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan atau terlibat dengan bahan terlarang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal