Sambutan Krismas Sabah 2025 Cerminan Perpaduan dan Keharmonian Rakyat Berbilang Kaum

photo 2025 12 17 11 45 47

KOTA KINABALU: 16 Disember 2025 – Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 terus menegaskan kedudukan Sabah sebagai simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama, sejajar dengan aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya.

Ucapan sambutan disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, yang mewakili Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.

Hajiji menegaskan bahawa sambutan Krismas peringkat negeri bukan sekadar acara keagamaan, sebaliknya berperanan sebagai platform penting untuk menyatukan rakyat dalam semangat muhibah, saling menghormati dan kebersamaan.

Menurut beliau, sambutan tersebut telah berkembang menjadi manifestasi kematangan sosial rakyat Sabah, sekali gus mencerminkan keindahan keharmonian dalam kepelbagaian agama, budaya dan latar belakang masyarakat.

photo 2025 12 17 11 54 56
Penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak Bandaraya

“Tema sambutan tahun ini, “Pengharapan Damai dalam Kasih” (Hope for Peace in Love), sangat bertepatan dengan keperluan semasa kerana mengangkat nilai-nilai asas kemanusiaan seperti kasih sayang, kedamaian, harapan serta tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat yang aman dan sejahtera”, katanya

Tambahnya, pembangunan sebenar tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan ekonomi, malah turut bergantung kepada keharmonian hubungan sesama insan, kekuatan institusi kekeluargaan serta tahap keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah.

photo 2025 12 17 11 51 20

Sambutan itu turut dihadiri barisan kepimpinan negeri dan persekutuan, termasuk Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, menteri-menteri kabinet negeri, ketua-ketua jabatan, pemimpin gereja, perwakilan diplomatik serta pemimpin masyarakat.

Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 sekali lagi menampilkan wajah sebenar Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian, namun kekal bersatu teguh berteraskan nilai kemanusiaan, keharmonian dan saling menghormati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal