KOTA KINABALU: 6 Ogos 2025 – Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menggesa agar sebuah agensi atau jabatan kreatif Sabah diwujudkan bagi membangun dan memperkasakan kegiatan kreatif secara menyeluruh di negeri ini.
Presiden SAFVA Chester Pang berkata ia merupakan usaha serius persatuan itu untuk mewujudkan satu ekosistem kreatif lengkap yang bertaraf industri agar penggiat kreatif boleh berkarya sepenuh masa dan pada masa yang sama menjadi satu pendapatan hasil baharu kepada ekonomi Sabah.

”Dengan adanya agensi atau jabatan kreatif kelak, pelbagai program kreatif boleh dirancang dan disepadukan bagi mengukuhkan kedudukan kami, terutamanya dari segi peluang pekerjaan dan perlindungan hak harta intelek (IP) yang dilindungi melalui dasar dan perundangan jabatan yang diwujudkan tanpa hanya bergantung kepada pembuat dasar di peringkat Kerajaan Pusat.
”Cadangan kami, jika dipersetujui, sudah tentu akan mengambil masa tetapi rangka kerja serta pelan tindakan kreatif sudah tersedia, yang boleh membantu mempercepatkan proses penubuhan itu.
”SAFVA percaya dan yakin terhadap kepimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam merealisasikan impian penggiat kreatif Sabah secara menyeluruh, yang bakal membuka ruang kepada pertumbuhan industri tempatan untuk lebih mampan dan profesional,” katanya kepada wartawan.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Hj. Abu Bakar Titingan di Menara Kinabalu hari ini.
Chester berkata, SAFVA turut bersedia memberikan kerjasama kepada Kerajaan untuk pelaksanaan aktiviti berkaitan kreatif. Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan Skim Insuran Rakyat Sabah dikembangkan dengan mewujudkan Skim Insuran Kreatif Sabah bagi memberi perlindungan insuran percuma kepada semua penggiat seni kreatif Sabah.
”Sebelum ini melalui inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan oleh FINAS dengan kerjasama PERKESO, penggiat kreatif Malaysia telah diberikan perlindungan insuran percuma selama setahun. Insuran ini penting kerana FINAS mengkehendaki semua tenaga kerja dan pelakon perlu mempunyai perlindungan insuran sebelum dibenarkan terlibat dalam penggambaran,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Jurucakap Jawatankuasa Tindakan Industri Kreatif Sabah (JATIKS) Andrew Ambrose berkata JATIKS akan sentiasa memantau dan tidak akan membenarkan entiti luar untuk menguasai khazanah aset ekspresi kebudayaan Sabah, dan ia merupakan satu pengkhianatan jika dibiarkan.
Terdahulu, Chester membentangkan asas pelan kreatif Sabah yang merangkumi 9 kategori iaitu Latihan Kemahiran, Dana Sokongan, Platform Tayangan dan Pawagam, Penyertaan Antarabangsa dan Pengiktirafan, Pasaran Antarabangsa, Sokongan Penggambaran dan Permit, Sokongan Peralatan dan Studio, Bantuan Insuran dan Bantuan Pinjaman Modal.