SAFA Tawau anjur liga bola sepak tahunan
Nilam Raon
TAWAU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Tawau akan meneruskan semula liga bola sepak tahunan yang tertangguh selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19 dengan mengguna format piala dunia.
Presiden SAFA Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata liga bola sepak yang akan dianjurkan semula adalah Piala Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Piala FA dan Piala Sumbangsih.
Menurutnya, penggunaan format piala dunia yang diadakan di Qatar pada tahun ini adalah antara usaha melahirkan pemain bola sepak bertaraf dunia.
“Mudah-mudahan dengan liga bola sepak yang kita adakan semula tahun ini setelah ditangguhkan selama tiga tahun disebabkan pandemik covid, ia akan merancakkan lagi sukan bola sepak di daerah Tawau,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan SAFA Tawau di sini pada Sabtu.
Katanya, ketika ini sebanyak 26 pasukan dan kelab telah mengesahkan penyertaan pertandingan dalam liga yang bermula dengan Piala Sumbangsih pada 3 Disember ini.
“Kita sasarkan sebanyak 32 pasukan atau kelab untuk mengambil bahagian dan tarikh tutup penyertaan pada 30 November ini dengan semua kelab atau pasukan bola sepak yang berdaftar di daerah Tawau boleh menyertainya,” katanya lagi.
Nizam yang juga wakil rakyat Apas berkata, SAFA Tawau turut menaikkan kadar bayaran bagi pengadil yang akan terlibat dalam liga pertandingan berkuatkuasa Januari 2023.
– Tv Sabah News
0 Comments