Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 31 Ogos 2026 – Sabah Tourism Board (STB) menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya dengan tekad memperkukuh promosi Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan menerusi peluasan pasaran dan pengembangan produk dan pengalaman pelancongan.
Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai berkata, sepanjang lima dekad, STB memainkan peranan sebagai agensi promosi pelancongan Kerajaan Negeri dalam memperkenalkan Sabah kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Katanya, industri pelancongan Sabah turut berkembang daripada destinasi yang dikenali kerana tarikan alam semula jadi kepada negeri yang menawarkan kepelbagaian pengalaman meliputi budaya, pengembaraan, warisan, makanan, acara dan aktiviti berasaskan komuniti.
“Selepas 50 tahun, perjalanan kita masih diteruskan. Masih ada pasaran baharu untuk dicapai, perkongsian baharu untuk dibina dan banyak lagi sebab untuk pelancong meneroka Sabah,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-50 STB dan pelancaran Sabah Fest 2026 di Kota Kinabalu, pada Sabtu lalu.
Joniston berkata, STB akan terus memperkukuh kehadiran Sabah dalam pasaran utama selain mengetengahkan lebih banyak pengalaman pelancongan dan menggalakkan pengunjung tinggal lebih lama dan meneroka destinasi di seluruh negeri.
Beliau berkata, usaha mempromosikan Sabah memerlukan kerjasama berterusan antara kementerian, agensi kerajaan, persatuan pelancongan, pemain industri, komuniti, syarikat penerbangan dan rakan perjalanan.
Dalam pada itu, Joniston berkata, bangunan STB di 51 Gaya Street yang berusia lebih satu abad berpotensi dibangunkan sebagai antara mercu tanda pelancongan Sabah.
Katanya, lokasi berkenaan boleh diketengahkan sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman sejarah dan nilai warisan kepada pelancong ketika berada di Kota Kinabalu.
Menurut Joniston, STB turut memperkenalkan jenama Explore Sabah yang mengetengahkan tiga teras utama iaitu budaya, pengembaraan dan alam semula jadi, dengan kelestarian menjadi antara hala tuju pelancongan negeri.
Beliau berkata, sambutan ulang tahun ke-50 itu turut menjadi penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan Sabah sepanjang lima dekad.
Joniston berkata, cabaran dan peluang baharu dalam tempoh 50 tahun akan datang memerlukan sokongan berterusan Kerajaan Negeri, kementerian dan rakan strategik untuk memastikan promosi Sabah terus diperkukuh di peringkat antarabangsa.
Sambutan ulang tahun ke-50 STB diadakan bersempena pelancaran Sabah Fest 2026 yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 29 September ini.

