KUALA LUMPUR: Sabah tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan sendiri, menurut jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat.
KDN menjelaskan, kuasa berkaitan kad pengenalan dan pendaftaran penduduk adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan negeri.
Menurut kementerian itu, Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan hanya melibatkan kuasa imigresen Sabah, termasuk kawalan kemasukan dan tempoh tinggal, dan tidak membenarkan pengeluaran kad pengenalan oleh kerajaan negeri.
Penjelasan itu dibuat susulan pertanyaan lisan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berhubung dakwaan dalam kalangan masyarakat bahawa Sabah boleh mengeluarkan kad pengenalan sendiri atau dikenali sebagai “Sabah IC”.
KDN menegaskan urusan kewarganegaraan dan pendaftaran penduduk dilaksanakan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 dan kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
