Sabah tekad tadbir urus kewangan berhemah dan telus – Masidi

oleh David E.G.

KOTA KINABALU: 16 April 2025 – Kerajaan Negeri Sabah kekal tekad untuk mengamalkan tadbir urus kewangan yang berhemah, telus dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, menurut Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun. Beliau menekankan ketelusan, kebertanggungjawab, dan integriti sebagai asas pentadbiran dengan pelbagai mekanisme kawalan bagi memastikan tiada pembaziran.

Dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Masidi menjelaskan isu-isu seperti penyewaan ruang pejabat kerajaan di bangunan swasta, yang diambil kerana keperluan teknikal dan kos penyelenggaraan bangunan kerajaan yang usang.

Beliau berkata, langkah pengoptimuman aset sedia ada termasuk audit menyeluruh dan had sewaan selama tiga tahun juga sedang dilaksanakan.

Berhubung Barter Trade, Masidi menjelaskan, lapan permohonan sepanjang tahun 2024 hingga awal 2025 telah diproses di Sandakan, dan SOP Barter Trade Negeri Sabah 2019 dipatuhi.

Kerajaan berharap pembangunan ekonomi biru akan menjadi pemacu pertumbuhan masa depan, dengan fokus pada kajian sumber mineral marin dan bioteknologi laut.

“Antara fokusnya ialah kajian sumber mineral marin, boteknologi laut dan penyusunan dasar ekonomi biru yang menyeluruh,” katanya.

Enam strategi mengukuhkan kedudukan fiskal negeri turut diumumkan, termasuk penstrukturan semula GLC dan penambahbaikan kutipan hasil.

Masidi menegaskan Sabah konsisten menuntut hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan dan mengambil langkah tegas menangani ketirisan hasil.

Beliau berkata, Skim Perlindungan Insurans Berkelompok dengan peruntukan RM50 juta akan dilaksanakan mulai 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028, menggunakan pendekatan ‘tanpa nama’ untuk perlindungan automatik semua warganegara Sabah, dan mengongsikan statistik peningkatan mendadak kes kemalangan jalan raya di Sabah.

Jelasnya, kerajaan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyediakan jaminan sosial kepada rakyat melalui pelaksanaan skim insurans berkelompok. Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif dalam membina jaringan keselamatan sosial, dan usaha penyebaran maklumat serta program kesedaran akan dilancarkan dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan di peringkat daerah untuk memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

Selain itu katanya, kerajaan turut mengambil pendekatan yang teliti dalam menjana hasil negeri melalui pengenalan Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum. Kajian mendalam mengenai sumber hasil ini telah dijalankan bermula tahun 2012 dan disiapkan pada tahun 2014. Pelaksanaan cukai ini, bagaimanapun, hanya dimulakan pada tahun 2020, setelah Kerajaan Negeri Sarawak mengambil langkah yang sama. Ini menunjukkan pertimbangan yang wajar dan penelitian yang rapi sebelum sebarang dasar dilaksanakan.

Kesimpulannya, pelaksanaan skim insurans berkelompok dan pengenalan Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum mencerminkan usaha kerajaan yang berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjamin kemampanan kewangan negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal