Sabah Sasar SSL Beras 40% Menjelang 2030

photo 2026 04 10 14 07 03

Jamawi memasukkan benih padi ke drone sambil disaksikan oleh Jumain (kanan) dan yang lain.

TELUPID: 9 April 2026 – Kerajaan Sabah menyasarkan peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri kepada 40 peratus menjelang tahun 2030 melalui usaha menyeluruh memperkukuh sektor penanaman padi, khususnya dari aspek infrastruktur pengairan dan pemulihan sawah terbiar.

photo 2026 04 10 14 07 09

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya pembangunan semula kawasan sawah yang tidak diusahakan dapat dilaksanakan secara berkesan, termasuk di Skim Pengairan Trusan Sapi.

Menurutnya, pembangunan kira-kira 4,000 hektar sawah terbiar berpotensi meningkatkan SSL sehingga 20 peratus, sekali gus menyumbang kepada pencapaian sasaran keseluruhan negeri menjelang 2030.

“Selain itu, pembangunan sekitar 3,000 hektar kawasan di Trusan Sapi sahaja dijangka mampu meningkatkan SSL sebanyak 10 peratus, sekiranya sistem pengairan dan saliran dipertingkatkan,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus bersama petani dan agensi berkaitan.

Sesi berkenaan turut melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta delegasi Kementerian Ekonomi, dengan fokus memuktamadkan konsep reka bentuk projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur pengairan di kawasan tersebut.

photo 2026 04 10 14 07 06
Jamawi (empat dari kanan) bergambar kenangan dengan warga kerja LPBS serta yang lain.

Jamawi menegaskan bahawa peningkatan pengeluaran beras negeri tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut memerlukan pengukuhan aspek mekanisasi pertanian dan penambahan kapasiti pemprosesan.

Beliau berkata, penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian dan peningkatan keupayaan kilang padi akan memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan pengeluaran pada skala lebih besar.

Usaha bersepadu ini dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh keselamatan makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import beras dalam jangka panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal