KOTA KINABALU: 30 Jun 2026 – Kerajaan Sabah memperkukuh tadbir urus biodiversiti menerusi pembangunan Sabah Biodiversity Access and Export System (SaBAES) dan Sabah Traditional Knowledge Information System (SaTKIS) demi meningkatkan pengurusan sumber biologi, melindungi pengetahuan tradisi dan memastikan khazanah semula jadi Sabah terus dipelihara secara mampan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Dr. Ahemad Sade berkata kedua-dua sistem digital itu merupakan langkah strategik ke arah tadbir urus yang lebih cekap, telus dan berasaskan data.

SaBAES dibangunkan sebagai platform dalam talian untuk mengurus permohonan Lesen Akses dan Lesen Eksport sumber biologi, di samping memantau aktiviti penyelidikan dan memastikan pematuhan terhadap Enakmen Biodiversiti Sabah 2000.
SaTKIS pula berfungsi sebagai sistem maklumat dan pangkalan data pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi Sabah untuk mendokumentasi, melindungi dan memelihara warisan ilmu komuniti tempatan daripada penyalahgunaan dan eksploitasi, selain memastikan manfaat dari penggunaannya dikongsi secara adil dan saksama.

Kerajaan Sabah turut melaksanakan Sabah Biodiversity Strategy 2024–2034 sebagai hala tuju strategik untuk melindungi, memulihara dan memanfaatkan sumber biologi secara mampan melalui pendekatan berasaskan sains, bukti dan kerjasama pelbagai pihak.
Strategi itu selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya 2.0 dan menyokong agenda biodiversiti global termasuk Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework, Convention on Biological Diversity (CBD) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Usaha pemuliharaan biodiversiti Sabah turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai kawasan pemuliharaan bertaraf dunia termasuk Tapak Warisan Dunia UNESCO Taman Kinabalu, Rizab Biosfera Banjaran Crocker, UNESCO Global Geopark Kinabalu dan Tapak Ramsar Hilir Kinabatangan-Segama dan Kota Kinabalu.
Pengiktirafan itu membuktikan keberkesanan kerjasama antara Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan, badan bukan kerajaan, institusi penyelidikan, komuniti tempatan dan sektor industri dalam memelihara khazanah biodiversiti Sabah.
Ahemad berkata tema “Acting Locally for Global Impact” mengingatkan semua pihak bahawa tindakan di peringkat tempatan mampu memberi impak besar terhadap pemuliharaan biodiversiti di peringkat global, sekali gus memastikan warisan semula jadi Sabah terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Grand Ballroom, Hotel Hilton, Kota Kinabalu, hari ini.
Pada majlis sama, Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) turut menganjurkan Majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 untuk mengiktiraf penyelidik yang menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan penyelidikan di Sabah.

