KOTA KINABALU: 12 Ogos 2025 – Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan standard keselamatan pelancong berada pada tahap tertinggi, demi mengekalkan reputasi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, menyatakan perkara itu sempena Mesyuarat Penyelaras Pelancongan bersama agensi Persekutuan dan Negeri yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Sri Tiong King Sing di Kota Kinabalu pada Selasa.
“Kerajaan Negeri menghargai sokongan berterusan MOTAC dalam memperkukuh industri pelancongan Malaysia. Dengan kerjasama erat antara MOTAC, Kerajaan Negeri dan agensi penguatkuasaan, Sabah bukan sahaja berpotensi menjadi destinasi terindah dunia, malah juga yang paling selamat,” katanya.
Christina turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri MOTAC atas perhatian khusus terhadap isu keselamatan di Semporna, dan menegaskan kedua-dua pihak berkongsi komitmen sama dalam memastikan keselamatan pelancong.
Beliau menekankan bahawa keselamatan pelancong bukan sahaja melindungi nyawa dan kesejahteraan, tetapi juga memelihara imej Malaysia sebagai destinasi pilihan.
“Dalam era media sosial, satu insiden kecil boleh tersebar dengan pantas dan menjejaskan imej pelancongan kita. Oleh itu, kita mesti sentiasa berwaspada,” tambah beliau.
Menyedari beberapa insiden berlaku dalam aktiviti seperti selam skuba, snorkeling dan sukan air di kawasan marin dan pulau, Christina menegaskan keperluan memperkukuh protokol keselamatan, pematuhan SOP ketat serta latihan kepada pemandu pelancong dan pengendali bot.
Kerajaan Negeri juga telah mengeratkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi meningkatkan rondaan dan pemantauan.
“Papan tanda keselamatan pelbagai bahasa juga dipasang di lokasi berisiko tinggi seperti balai ketibaan Lapangan Terbang Tawau dan Sandakan,” tambah beliau.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharudin Abu Sohot; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Norlija @ Norlijah Danin; dan Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai.