Sabah komited sokong dasar pemuliharaan alam, hidupan liar: Hajiji
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited untuk merealisasikan pelbagai inisiatif pemuliharaan alam sekitar sebagai usaha untuk menyumbang matlamat kelestarian hijau dan pada masa yang sama memastikan keseimbangan ekonomi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan sentiasa menyokong Dasar Hidupan Liar Sabah dan Pelan Tindakan Penyu yang dibangunkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Melalui dasar ini, nilai sebenar hidupan liar kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial Sabah akan dapat direalisasikan dan dipertingkatkan. Kita juga komited untuk menyokong pewartaan Teluk Darvel di Lahad Datu sebagai Kawasan Perlindungan Marin,” katanya di Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 WWF-Malaysia di Shangri-La Tanjung Aru malam Khamis.
Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Masidi Manjun.
Katanya, perjanjian persefahaman (MoU) baru-baru ini ditandatangani di antara Taman Sabah dan WWF-Malaysia untuk kerjasama lima tahun menjalankan penyelidikan di Teluk Darvel menandakan langkah pertama untuk mencapai matlamat.
Hajiji berkata, pembangunan ekonomi adalah perlu untuk meningkatkan kehidupan dan taraf hidup rakyat Sabah, namun Kerajaan Negeri mengakui pembangunan ini perlu mampan bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat.
“Dengan mengimbangi keperluan jangka pendek dan jangka panjang, kita akan memastikan belia hari ini tidak diletakkan pada kedudukan yang kurang bernasib baik pada masa hadapan.
Beliau juga percaya bahawa inisiatif dan komitmen Sabah ini akan memacu Malaysia ke hadapan untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.
Untuk itu katanya, Kerajaan Negeri memahami kepentingan pemuliharaan khususnya di Sabah yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai kawasan hotspot biodiversiti.
“Kita menyedari bahawa perlindungan alam sekitar dan pembangunan mampan boleh berjalan seiring dan kita berusaha untuk memastikan ekosistem unik ini terus dilindungi,” kata Hajiji.
Menurutnya, sejak inisiatif pemuliharaan dimulakan pada 2007, Kerajaan Negeri telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pemuliharaan hutan.
Lebih 26 peratus daripada keluasan tanah negeri atau kira-kira 1.9 juta hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA). Menjelang 2025, Kerajaan Negeri akan memperluaskan Kawasan kepada 30 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah Sabah.
Ini kata Hajiji selaras dengan Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mengekalkan 50 peratus kawasan daratan Sabah di bawah liputan hutan.
“Kita telah tingkatkan litupan kawasan berhutan kepada 64 peratus di mana 52 peratus daripadanya diwartakan sebagai Hutan Simpan, Taman dan Kawasan Pemuliharaan Hidupan Liar. Kita juga telah pulihkan kawasan seluas 2,000 hektar hutan simpan,” jelasnya.
Dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada hutan semula jadi sebagai sumber pendapatan utama, kerajaan katanya menyasarkan untuk membuka 400,000 hektar ladang hutan menjelang tahun 2036.
Ini akan memberi kapasiti pengeluaran antara enam juta hingga lapan juta meter padu setahun.
“Kita berusaha untuk mencapai keseimbangan antara ekonomi dan pemuliharaan dan kekal komited terhadap pemuliharaan aset semula jadinya,” kata Hajiji.
0 Comments