Pasukan ragbi Kolej Vokasional (KV) Keningau telah menjuarai kejohanan ragbi kebangsaan yang dikenali sebagai National KV Seven Series Pusingan Akhir-The Battle of Seven Sides anjuran KV Batu Pahat yang melibatkan 16 pasukan daripada kolej-kolej vokasional di Malaysia yang berlangsung di kolej penganjur di Johor dari 31 Oktober sehingga 2 November 2025.

KV Keningau adalah satu-satunya pasukan daripada Borneo Malaysia yang bersaing di kejohanan ini dan pasukan ini berjaya memenangi piala kemenangan tanpa bolos dalam kesemua perlawanan berturut-turut hingga ke peringkat akhir. Mereka berjaya memenangi trofi dan piala pusingan serta plaq pemain terbaik.
Pasukan ini terdiri daripada 12 pemain iaitu Dylan Ivander Lucas, Maxwill Bryan Majit, Angelo Ivans Juharih, Elvince Evenniee, Kelvin Aaron Mac, Leorisheen Lakai Moris, Mc Alfa Romeo Jupani, Zynn Alix, Enrique Oliver Lee, Wilderelton Jexter, Kornelius Patrick dan Nevillee Misak. Pasukan ini diurus dan diiring oleh dua guru KV Keningau iaitu Nur Shiha binti Che Dir dan Mohd Alfierahmie bin Nuid dan dibimbing oleh dua orang jurulatih berpengalaman iaitu Stanley Sedry Stephen dan Mohd Harry bin Johari.

Pasukan ini berjaya mengalahkan KV Sepang di peringkat separuh akhir dengan mata 33-0 dan akhirnya menjuarai kejohanan ini setelah menewaskan KV Arau di peringkat akhir dengan mata 20-0. Dylan Ivander Lucas dinobatkan sebagai pemain terbaik. Pasukan ragbi KV Keningau disokong kuat oleh Kelab Ragbi Titanium dan Persatuan Ragbi Daerah Keningau.
Pasukan ragbi ini juga merupakan naib johan perlawanan ragbi kebangsaan Sukan Kolej Vokasional (SUKOV) 2025 pada bulan Jun dan majoriti pemain-pemain pasukan ini mewakili daerah Keningau dalam Sabah Games (SAGA) pada bulan Oktober dimana pasukan daerah ini muncul juara bagi kategori permainan ragbi.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berasa sangat berbangga dengan kejayaan pasukan ragbi ini yang berjaya membawa balik piala kejohanan dengan keputusan perlawanan yang sangat cemerlang.
Beliau menyatakan bahawa sokongan padu kepada penglibatan para pelajar dalam aktiviti kokurikulum merupakan tunjang kepimpinannya kerana aktiviti di luar bilik darjah terutamanya sukan sangat membantu membentuk disiplin pelajar dan meningkatkan motivasi mereka agar sentiasa berusaha lebih gigih dalam apa jua termasuk pembelajaran dalam bilik darjah.

		
		
		
		