Sabah Jadi Tumpuan Pelancong India, Ride Sabah North Borneo FAM Tour Rasmi Bermula

photo 2026 01 26 16 38 25

KOTA KINABALU: 26 Januari 2026 — Sabah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan sukan dan eko-pelancongan apabila sekumpulan penunggang basikal dari Chennai, India memulakan jelajah mereka di Sabah melalui program Ride Sabah North Borneo Cycling FAM Tour, hari ini.

Program suai kenal selama enam hari lima malam itu dianjurkan oleh Tourism Malaysia–Chennai dengan penglibatan ahli Persatuan Berbasikal Chennai. Jelajah tersebut bermula di bangunan Sabah Tourism Board (STB) di ibu negeri, disempurnakan dengan sesi flag-off yang dihadiri ketua pegawai eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit.

Turut hadir ialah Pengarah Tourism Malaysia-Chennai, Hishamuddin Mustafa, serta Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar.

Bertemakan “Sabah Cycling Paradise, Malaysia Truly Asia”, peserta akan merentasi laluan yang menampilkan gabungan pemandangan pantai, tanah tinggi dan pekan berbudaya. Destinasi utama yang diliputi termasuk Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Kundasang dan Tamparuli.

Inisiatif ini turut mendapat sokongan Royal Brunei Airlines, membolehkan penyertaan delegasi berpengaruh dan cycling influencers dari India.

Program berkenaan menjadi sebahagian daripada strategi Sabah Tourism Board untuk meningkatkan kehadiran Sabah dalam pasaran India, sekali gus menarik lebih ramai pelancong berbasikal dan peminat aktiviti luar.

Pada masa yang sama, STB bakal menyertai Outbound Travel Mart 2026 di Mumbai minggu depan, di mana Ride Sabah North Borneo Cycling Tour akan dilancarkan secara rasmi kepada rakan industri antarabangsa.

Usaha ini selari dengan komitmen berterusan STB untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi berbasikal dan ekopelancongan utama menjelang Visit Malaysia Year 2026 dan Visit Sabah 2027.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal