TAWAU: 18 Julai 2025 – Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyelar kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyifatkan slogan Sabah for Sabahan sebagai tidak relevan, sambil menegaskan bahawa ia mencerminkan aspirasi rakyat Sabah yang tulen dan berakar dari sejarah perjuangan negeri itu.
Menurut Nizam, slogan berkenaan bukan sekadar laungan politik bermusim, sebaliknya merupakan simbol tuntutan terhadap hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menyifatkan kenyataan Ahmad Maslan sebagai tidak memahami latar belakang pembentukan negara.
Dalam satu kenyataan media, Nizam secara tegas menyatakan slogan ini bukan menolak Malaysia, sebaliknya menuntut keadilan dan pengiktirafan terhadap kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah menegaskan, semangat Sabah for Sabahan menekankan keperluan Sabah ditadbir oleh kepimpinan tempatan yang memahami keperluan dan kehendak rakyat Sabah.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Sabah yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa menumpukan usaha membangunkan negeri mengikut acuan sendiri tanpa campur tangan luar.
Nizam turut menolak anggapan bahawa slogan itu bersifat memecahbelahkan, sebaliknya menyifatkan mana-mana pihak yang menafsirnya secara sempit sebagai tidak memahami realiti politik dan sejarah Sabah.
Tegas beliau, Sabah bukan sekadar salah satu negeri dalam Malaysia. Ia adalah salah satu pengasas Persekutuan bersama Sarawak dan Semenanjung, dan perlu dihormati setara.
Dalam pada itu, beliau menyentuh isu kerjasama politik semasa di Sabah yang menurutnya masih dalam perbincangan.
Katanya, kerajaan yang ada hari ini terbentuk melalui gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH), dan sebarang perubahan perlu mengambil kira mandat rakyat serta kestabilan negeri.
Nizam menutup kenyataannya dengan mengingatkan bahawa perjuangan mempertahankan MA63 bukan soal retorik, tetapi soal prinsip, hak, dan maruah negeri.
Antara lain, beliau menambah perjuangan berkenaan bukan sebuah propaganda politik, tetapi suara rakyat Sabah yang tidak harus diperlekehkan.
Sumber: Sabah News Today