KOTA KINABALU: 23 Ogos 2025 – Festival budaya ikonik Sabah Fest kembali tahun ini dengan penganjuran lebih strategik, berlangsung sepanjang sebulan bermula 30 Ogos hingga 28 September, bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew, berkata festival yang diperkenalkan sejak 1988 itu kekal sebagai wadah penting untuk menonjolkan keunikan seni, tradisi dan warisan etnik negeri ini.
“Tema tahun ini, Unity in Diversity: Culture Unites Us, mencerminkan semangat festival ini. Ia mengingatkan kita bahawa walaupun berbeza latar belakang, budaya adalah elemen yang menyatukan kita semua,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Sabah Fest 2025 akan dimulakan dengan Majlis Perasmian pada 30 Ogos di Jalan Jati, Gaya Street. Pada 6 September pula, acara Unity in Diversity Fun Run & Walk akan dianjurkan di Taman Ujana Rimba Tropika, membawa peserta melalui beberapa rumah ibadat utama sambil mempromosikan keharmonian berbilang agama. Pada tarikh sama, para peserta turut digalakkan mengenakan busana etnik bagi menyerikan suasana.
Selain itu, sebuah Mini Karnival Sabah Fest akan berlangsung pada 6 hingga 7 September di Imago Shopping Mall, menampilkan pelbagai permainan tradisional dan aktiviti interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga. Festival ini kemudiannya akan mencapai kemuncaknya menerusi acara Sabah Fest Extravaganza pada 27 dan 28 September di Oceanus Boardwalk, menampilkan persembahan tarian budaya dari lima bahagian utama Sabah sebagai lambang kepelbagaian seni warisan negeri.
Menurut Christina, festival itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Lembaga Kebudayaan Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Kupi Kupi FM, Imago Mall, Suria Sabah Mall, Oceanus Mall, dan Malaysia Airports Berhad (KKIA).
“Sabah Fest bukan sekadar festival. Ia adalah usaha memelihara warisan, memperkasakan komuniti, dan mengundang dunia untuk merasai keunikan Sabah,” jelas beliau.
Beliau turut menyatakan harapan agar penganjuran pada masa hadapan dapat diperluaskan ke daerah lain supaya lebih ramai komuniti setempat berpeluang menyertainya.