Sabah Berhak Terima Subsidi Diesel – Ewon

photo 2026 03 27 16 43 44

KOTA KINABALU: 27 Mac 2026 – Sabah berhak menerima subsidi diesel memandangkan negeri ini merupakan salah satu pengeluar utama minyak dan gas negara yang menyumbang bukan sahaja kepada ekonomi negeri tetapi juga menyokong keperluan domestik, termasuk sektor pengangkutan dan bekalan barangan asas.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata hasil minyak dan gas Sabah turut menyumbang kepada pembangunan negeri-negeri lain, oleh itu sabah wajar mendapat pulangan dalam bentuk subsidi bagi keperluan rakyatnya.

photo 2026 03 27 16 43 47

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran UPKO Putatan, di Dewan Sri Putatan, kelmarin.

Menurut Ewon, kerajaan negeri telah lama mempertahankan hak Sabah untuk menikmati manfaat dari sumber asli yang dihasilkan di negeri ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan persekutuan sebelum ini telah mengurangkan kuota subsidi diesel dari 300 liter ke 200 liter, namun penjelasan lanjut perlu diberikan kerana perubahan itu boleh menjejaskan kehidupan rakyat dan operasi sektor pengangkutan, termasuk pengedaran barangan asas melalui pengangkutan laut.

Selain itu, Ewon menegaskan bahawa Sabah, sebagai pengeluar sumber asli, berhak mengetahui bagaimana hasil gas dan minyak digunakan, dan dikembalikan kepada rakyatnya. Isu ini menjadi lebih relevan selepas pelaksanaan Akta Kemajuan Petroleum, yang menyaksikan negeri kehilangan sebahagian besar hasil sumber gas dan minyak.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa penganjuran Sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh UPKO Bahagian Putatan merupakan salah satu usaha memupuk perpaduan dan semangat saling menghormati antara masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

Beliau juga menekankan walaupun terdapat perbezaan hak dan tuntutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, semangat kerjasama antara wilayah di Malaysia harus terus diperkukuhkan.

sumber: Media DEB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal