KOTA KINABALU : 12 Mac 2026 – Kerajaan Sabah akan membantah permohonan yang difailkan oleh Peguam Negara Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan dan penentuan hak Sabah terhadap 40% hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata permohonan tersebut berkaitan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025.
Mahkamah dalam keputusan itu mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan bersama Kerajaan Negeri Sabah untuk melaksanakan pemberian khas 40% hasil negeri bagi tempoh yang dikenali sebagai “Tahun-Tahun Yang Hilang”, serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April 2026.
Menurut Brenndon, sejak keputusan tersebut dikeluarkan, Kerajaan Negeri Sabah kekal komited untuk mematuhi isi dan maksud keputusan mahkamah.
Katanya, kerajaan negeri juga telah terlibat secara aktif dalam beberapa sesi perbincangan dan mesyuarat teknikal bersama pihak berkuasa Persekutuan untuk bertukar maklumat, mengesahkan data dan meneliti kaedah sesuai untuk menentukan jumlah pemberian khas tersebut.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah melengah-lengahkan proses pelaksanaan keputusan mahkamah, sebaliknya telah mengambil langkah berterusan untuk memastikan proses yang diarahkan mahkamah dapat dilaksanakan secara teratur.
Sementara itu, katanya kerajaan negeri kekal bersedia untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencapai penyelesaian yang adil selaras dengan peruntukan Perlembagaan.
Brenndon turut menjelaskan bahawa Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mekanisme pelantikan seorang penilai bebas sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.
Katanya, syor yang dikemukakan oleh penilai bebas tersebut akan mengikat kedua-dua kerajaan dan perlu dilaksanakan seolah-olah ia merupakan persetujuan bersama.
“Memandangkan perbincangan masih berlangsung dan tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah semakin hampir, kedua-dua pihak perlu terus mempergiatkan usaha untuk mencapai penyelesaian yang adil dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau menegaskan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah akan terus mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya untuk melindungi hak dan kepentingan negeri Sabah.
