RON95 Diturunkan kepada RM2.00 Seliter

PUTRAJAYA: 23 Julai 2025 – YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penghargaanya kepada rakyat Malaysia mengumumkan berita gembira harga petrol RON95 diturunkan kepada RM2.00 seliter, sebagai sebahagian daripada langkah penyasaran subsidi bahan api yang lebih adil dan berfokus.

Pengumuman ini memberi manfaat langsung kepada sekitar 18 juta pengguna termasuk pemandu kereta, penunggang motosikal, belia seawal usia 16 tahun serta pekerja dalam sektor gig, golongan yang paling banyak bergantung kepada penggunaan petrol dalam rutin harian mereka.

Penurunan harga ini menandakan pendekatan baharu kerajaan dalam menyusun semula pemberian subsidi secara bersasar, di mana rakyat biasa akan terus dilindungi daripada kesan penyasaran, manakala mereka yang tidak layak, termasuk warga asing, akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi.

Langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan pengagihan subsidi, sekaligus mengurangkan ketirisan yang sebelum ini membebankan kewangan negara. Difahamkan, subsidi RON95 sahaja menelan belanja hampir RM20 bilion setahun pada 2023 dan 2024.

Meskipun harga minyak mentah dunia mencatat penyusutan tahun ini, harga sebenar petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter. Maka, harga baharu RM2.00 yang ditawarkan kepada rakyat merupakan satu penjimatan yang signifikan dan mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus membantu golongan yang memerlukan.

Penurunan ini turut melengkapi usaha menyeluruh kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang berteraskan kesejahteraan, keadilan sosial, dan pengagihan sumber negara secara lestari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal