Rogol Adik Ipar Hingga Hamil, Pengait Sawit Dipenjara 16 Tahun dan 6 Sebatan

MUAR: 7 Oktober 2025 – Seorang pengait sawit dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, selepas mengaku bersalah  atas dua pertuduhan merogol adik iparnya yang berusia 13 tahun hingga mangsa hamil enam bulan.

Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah tertuduh berusia 39 tahun serta rayuan yang dikemukakan.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan, namun mahkamah memerintah hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh keseluruhan 16 tahun.

Selain itu, tertuduh turut menjalani kaunseling selama setahun dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman, selaras dengan Seksyen 26 dan 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada dua anak itu didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Kluang pada Mac lalu, jam 1 pagi.

Bagi pertuduhan kedua, dia sekali lagi melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di rumah berlainan pada 31 Ogos lalu, jam 12.01 tengah malam.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa memaklumkan kepada ibunya bahawa dia dirogol abang iparnya sebelum laporan dibuat kepada polis.

Siasatan mendapati kejadian berlaku di dua rumah berbeza, dan mangsa dirogol beberapa kali.

Tertuduh turut mengugut mangsa supaya berdiam diri daripada mendedahkan perbuatannya.

Mangsa akhirnya tampil membuat laporan selepas kejadian terakhir pada Ogos lalu.

Susulan laporan pada 24 September, polis menahan tertuduh pada hari sama untuk membantu siasatan.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal