RM500,000 untuk pembinaan dan naik taraf jeti perikanan seluruh Sabah

18e77c33 a526 42de 8ed3 936a24211cf2 F3E2FCB3 A7AB 4198 8DF7 C983C4EFDCC4

KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Kerajaan Sabah memperuntukkan RM500,000 pada tahun ini untuk pembinaan baharu dan menaik taraf jeti perikanan di perkampungan nelayan seluruh Sabah, termasuk di daerah Papar, melalui Program Bantuan Pembangunan Asas Perkampungan Nelayan (i-INFRA).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, program itu bertujuan memudahkan pendaratan hasil perikanan, selain menyediakan kemudahan untuk penyelenggaraan peralatan menangkap ikan dan jeti tambatan bot.

“Program ini telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 pada tahun 2026 untuk pembinaan baharu atau naik taraf jeti perikanan di perkampungan nelayan seluruh Sabah termasuk daerah Papar.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Haji Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir yang meminta kerajaan menjelaskan perancangan meningkatkan kemudahan dan keupayaan peralatan penangkapan ikan untuk nelayan di daerah Papar.

Menurut beliau, Jabatan Perikanan Sabah turut melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan produktiviti nelayan, termasuk penggunaan peralatan penangkapan ikan yang lebih berkualiti, menaik taraf bot dengan peralatan mekanisasi, penggunaan enjin yang lebih cekap, sistem pengesan ikan, teknologi komunikasi dan penyediaan kemudahan pengendalian hasil tangkapan.

Katanya, kerajaan turut memperkasakan sektor perikanan melalui beberapa program seperti Program Pengukuhan Pendapatan Nelayan Setempat, Inisiatif Ekonomi Biru Perikanan dan Pemerkasaan Produktiviti Hasil Tangkapan Ikan, Program Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan B40 dan Program Latihan Nelayan.

Selain itu, Ko-Nelayan menyediakan kemudahan seperti enjin 15 hingga 40 kuasa kuda (HP), perahu gentian kaca, pukat, tong ais dan peralatan teknologi moden melalui skim mikro kredit di bawah Program Peningkatan Pendapatan.

“Penggunaan teknologi seperti aplikasi dan peranti satelit e-SMART juga diperkenalkan untuk meningkatkan kecekapan penangkapan ikan dan mengurangkan kos bahan api.”

Beliau berkata nelayan sepenuh masa juga boleh memohon menyertai Skim Bantuan Nelayan (i-Nelayan) melalui Pejabat Ko-Nelayan Wilayah Pantai Barat di Papar untuk mendapatkan bantuan yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan produktiviti sektor perikanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal