Kota Belud: Dua helai Sinombiaka Rinongkitan menjadi lambang kasih dan warisan keluarga Dusun Kiau, yang bermula sejak awal 1900-an melalui kreativiti dua wanita, Irung dan Rondog, dari Kampung Kiau Nuluh.
Pada awalnya, pakaian masyarakat Dusun Kiau hanya terdiri dari kain hitam polos dikenali sebagai Tabot dan Gonob Toitom atau Mandawoi. Perubahan bermula ketika pihak British sering berkunjung ke kampung dan menghadiahkan kain, benang dan jarum kepada penduduk tempatan.
Berasaskan bahan-bahan itu, Irung dan Rondog mula menghasilkan sulaman tangan pada pakaian, memperkenalkan corak yang bukan sahaja mencantikkan pakaian tetapi turut membawa makna tersendiri. Usaha mereka kemudian menarik perhatian Bonut, yang mencipta tudung kepala khas dikenali sebagai Kuluh.
Kemahiran ini diteruskan oleh Gapaya dan Sondioi yang mempelajari teknik sulaman tersebut. Aktiviti menyulam menjadi amalan komuniti, terutamanya ketika mereka berkumpul di beranda rumah panjang di musim hujan. Tradisi ini sekali gus memperkaya corak dan teknik yang akhirnya dikenali sebagai Rinongkitan.

Lebih dari sekadar hiasan, setiap sulaman Rinongkitan. mencerminkan identiti, status sosial dan kepercayaan masyarakat Dusun Kiau. Merah melambangkan kekuatan dan keberanian, putih membawa makna kesucian dan keseimbangan, kuning mencerminkan kemuliaan dan kedudukan, selanjutnya hitam sebagai asas yang menggambarkan keteguhan dan perlindungan.
Motif yang diilhamkan dari tumbuhan dan alam semulajadi menggambarkan hubungan erat antara manusia dengan persekitaran, dan keseimbangan kehidupan.

Di sebalik setiap jahitan dan sulaman Rinongkitan. tersimpan legasi lima wanita yang mengangkat kain polos menjadi warisan bernilai tinggi yang terus mekar sebagai lambang kebanggaan masyarakat Dusun Kiau hingga ke hari ini.
Rumah kediaman mendiang Irung dan Rondog terletak di kawasan Hongkung, berhampiran pejabat British di Labot. Lokasi ini memudahkan penyebaran minat terhadap mamarangkit (kegiatan menyulam) di kalangan wanita kampung. Minat ini kemudiannya tersebar ke kawasan Tobobon dengan penyertaan Sondioi dan Gapaya, bersama ramai lagi yang tidak diketahui secara menyeluruh. Ketika itu Rinongkitan. berkembang secara santai dari sahabat ke sahabat yang berminat.
Mendiang Linah Dalansu turut menjalankan penelitian awal secara spontan, membandingkan corak sulaman dari kawasan seperti Keningau dan Tambunan, sekaligus mengumpul maklumat berharga tentang keadaan Rinongkitan pada masa itu.
Memasuki era moden, Linah bersama Meliana Daransun (cucu mendiang Irung) meneruskan usaha mendalami seni Rinongkitan. Melalui bengkel pertama yang diadakan pada tahun 2017, kedua-duanya berjaya menghidupkan semula pemakaian baju tradisi ini, mengangkat kembali identiti budaya dan memastikan warisan nenek moyang terus hidup dalam komuniti Dusun Kiau.
Selain pakaian wanita, masyarakat Dusun Kiau turut memiliki pakaian tradisional lelaki dikenali sebagai Sinompukung. Pada suatu ketika, pakaian ini dipakai oleh pemandu yang mengiringi orang asing mendaki Gunung Kinabalu, menjadikannya simbol keberanian dan kepercayaan dalam komuniti.

Sinompukung bukan sekadar pakaian, tetapi mencerminkan kedudukan terhormat pemakainya. Corak seperti Tinuridong melambangkan kekuatan fizikal, manakala Kinaro-karo membawa maksud perlindungan dan keseimbangan. Setiap helaian turut dilengkapi 24 butang tembaga atau pirok, menambahkan nilai estetika dan simbolik.
Hari ini, Rinongkitan. terus dipakai dalam upacara adat dan perayaan seperti Moginakan, sebagai tanda penghormatan kepada semangat padi, Bambarayon, dan simbol kesyukuran terhadap hasil tuaian.

Sehingga kini, Rinongkitan terus dipakai dalam upacara adat dan perayaan seperti Moginakan sebagai tanda penghormatan kepada semangat padi, Bambarayon, serta simbol kesyukuran terhadap hasil tuaian. Pada masa yang sama, warisan ini dipelihara oleh Pemegang Amanah Rinongkitan Dusun Kiau melalui protokol yang tersusun dan kukuh bagi memastikan keaslian serta identitinya terus terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Artikel ini disediakan dengan sokongan Jenesia Justin dan David, serta kerjasama masyarakat Dusun Kiau.
