Rekod Sifar PAR Usahawan Wanita AIM Sabah Kejayaan Membanggakan

Gambar Rekod PAR

KOTA KINABALU: 31 Januari 2026 – Usahawan wanita di bawah program Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Sabah terus mencipta kejayaan membanggakan apabila merekodkan 0 peratus Portfolio At Risk (PAR), sekali gus membuktikan tahap disiplin kewangan dan keupayaan pengurusan perniagaan yang tinggi dalam kalangan peserta program berkenaan.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen menyeluruh usahawan wanita dalam memastikan pembayaran semula pinjaman dilaksanakan sepenuhnya tanpa tunggakan, selain mengukuhkan keyakinan terhadap keberkesanan pendekatan pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan oleh AIM.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, di Majlis Malam Gala & Legasi Pinknuari anjuran Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Kota Kinabalu (KUSIKK) berkata, rekod sifar risiko itu bukti kecekalan, integriti serta keupayaan wanita mengurus ekonomi dan perniagaan secara mampan.

Katanya, kejayaan Sahabat AIM bukan sekadar pencapaian angka, sebaliknya menjadi contoh terbaik kepada lebih ramai wanita untuk menceburi bidang keusahawanan dengan pendekatan berdisiplin dan bertanggungjawab, walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.

Beliau turut menegaskan bahawa di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, pelbagai inisiatif terus digerakkan bagi memperkasa ekosistem keusahawanan negeri, termasuk program sokongan, bimbingan dan pembangunan kapasiti yang menyasarkan usahawan mikro dan kecil, khususnya golongan wanita.

Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada usahawan cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap prestasi dan sumbangan mereka.

Sebagai langkah susulan, para penerima anugerah serta ketua-ketua blok akan dijemput menghadiri sesi pertemuan khas bagi membincangkan isu, cabaran dan cadangan penambahbaikan, selain menerima insentif tambahan sebagai galakan untuk mengekalkan prestasi cemerlang.

Ewon berharap kejayaan Sahabat AIM Sabah ini selain mengukuhkan peranan wanita sebagai pemacu penting pembangunan ekonomi negeri, ia menjadi inspirasi kepada komuniti usahawan di seluruh Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal