KOTA KINABALU : 23 Januari 2025 — Sebuah gerakan sukarelawan dikenali sebagai Re-Laut tampil memainkan peranan aktif dalam usaha memulihkan dan memelihara kebersihan lautan yang terdapat di Semporna, khususnya dalam menangani isu sisa pepejal yang semakin membimbangkan.

Menurut jurucakap Re-Laut Jai Jericho Omar, Re-Laut merupakan istilah yang berasal daripada bahasa Bajau yang membawa maksud lautan, relawan laut serta penggunaan semula sumber laut, selari dengan matlamat utama gerakan tersebut untuk melindungi ekosistem marin.

Beliau berkata, Re-Laut merupakan sebuah gerakan kecil yang diwujudkan bagi membantu memulihkan keadaan laut melalui penglibatan komuniti dan sukarelawan, walaupun usaha pemuliharaan ini sebenarnya telah lama dijalankan secara tidak formal sebelum ini.
“Secara rasmi, Re-Laut ditubuhkan pada Oktober 2025 selepas kami melihat keperluan untuk membentuk satu gerakan yang lebih tersusun dan berfokus,” katanya.

Setakat ini, seramai 22 orang anggota terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti Re-Laut yang dijalankan di kawasan operasi mereka.
Antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuklah usaha mengurangkan sisa pepejal di lautan, menjalankan kempen kesedaran melalui media sosial dan pendidikan, serta merangka sistem pengurusan sampah sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap pencemaran laut.

Sehubungan itu, Jai Jericho menyatakan harapan agar pihak Majlis Daerah Semporna (MDS) dapat tampil memberikan sokongan dan kerjasama yang lebih erat dalam aktiviti kesukarelawanan ini, sekali gus memperkukuhkan usaha bersama ke arah pengurusan sisa yang lebih berkesan dan mampan.
Re-Laut turut berharap agar masyarakat serta pihak berkaitan dapat bersama-sama memainkan peranan dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar marin demi memastikan kelestarian laut dapat dipelihara untuk generasi akan datang.
