RAZZIDIN TEGASKAN KESETIAAN PERIBADI TERHADAP PRESIDEN STAR

KOTA KINABALU, 8 Oktober 2025 — Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Razzidin Datuk Robert, menegaskan bahawa beliau secara peribadi kekal setia dan berdiri teguh bersama Presiden parti, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G.Kitingan, dalam perjuangan politik berteraskan hak serta maruah rakyat Sabah.

Razzidin menjelaskan bahawa kenyataan tersebut adalah pendirian peribadi beliau sendiri, dan tidak mewakili keseluruhan Exco Pemuda STAR Sabah mahupun mana-mana sayap parti.

“Saya menyatakan pendirian ini atas dasar keyakinan terhadap kepimpinan Presiden dalam memperjuangkan hak Sabah. Ia adalah pandangan peribadi, bukan atas dorongan atau arahan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Menurut beliau, prinsip perjuangan yang dibawa oleh DDJK selaras dengan semangat asal penubuhan STAR Sabah yang memperjuangkan autonomi negeri di bawah slogan ‘Sabah for Sabahan’, serta menuntut pengiktirafan penuh terhadap hak rakyat Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Razzidin turut menyatakan bahawa beliau akan terus berperanan secara aktif membantu memperkukuh semangat perjuangan parti di peringkat akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, khususnya dalam menyemarakkan kesedaran politik generasi muda.

“Kesetiaan saya kepada perjuangan ini lahir dari rasa tanggungjawab sebagai anak Sabah. Saya percaya kepimpinan DDJK masih relevan untuk membawa suara rakyat ke hadapan,” ujarnya lagi.

Kenyataan itu menegaskan semula pendirian peribadi Razzidin terhadap perjuangan STAR Sabah di bawah pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, tanpa mengaitkan pandangan beliau dengan mana-mana individu atau kumpulan lain dalam parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal