Rayuan Ditolak: Bekas ADUN Tronoh Paul Yong Jalani Hukuman Penjara 8 Tahun Kes Rogol Pembantu Rumah

PUTRAJAYA: 3 Oktober 2025 – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, 55, hari ini memulakan hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, sebulat suara menolak rayuan akhir Yong terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh mahkamah terdahulu.

Dengan keputusan itu, Yong terus dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan.

Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya menegaskan bahawa sabitan ke atas Yong adalah sah, dan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah wajar.

Beliau menolak hujahan pembelaan yang mendakwa Yong dinafikan perbicaraan adil apabila mangsa memberi keterangan dalam prosiding tertutup.

Menurut beliau, keterangan mangsa dilindungi mengikut undang-undang dan mahkamah berpuas hati mangsa merupakan saksi yang boleh dipercayai.

Bukti sokongan seperti laporan perubatan, rakaman CCTV serta keterangan saksi lain menguatkan kes pendakwaan.

Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan ke atas Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun.

Hukuman itu kemudian diringankan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2023 kepada lapan tahun penjara, namun sabitan dikekalkan.

Mangsa dalam keterangannya mendedahkan pernah diganggu secara seksual sebelum kejadian rogol pada 7 Julai 2019.

Pemeriksaan perubatan mendapati terdapat koyakan baharu pada selaput dara, sejajar dengan laporan kejadian. CCTV turut menunjukkan Yong berada seorang diri bersama mangsa di lokasi kejadian.

Mahkamah mendapati elemen kesalahan rogol mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, iaitu berlaku penetrasi tanpa kerelaan mangsa, telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

Dengan keputusan ini, peluang Yong untuk bebas dari sabitan kes rogol terbabit tertutup, menjadikan hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan muktamad.

Sumber: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal