Rakyat Sabah digesa waspada susulan peningkatan kes tibi

IMG 20260223 WA0003

KOTA KINABALU: 23 Februari 2026 – Kementerian Kesihatan Malaysia mengingatkan orang ramai berwaspada termasuk memakai pelitup muka susulan peningkatan catatan jumlah kes tuberculosis (tibi) terutamanya di Sabah, 755 kes setakat Minggu Epidemiologi ke-6, tahun ini.

IMG 20260223 WA0004

Angka itu menyumbang 23.88 peratus dari keseluruhan 3,161 kes tibi yang dilaporkan di seluruh negara, sekali gus menunjukkan keperluan pemantauan dan langkah pencegahan lebih agresif di negeri berkenaan.

IMG 20260223 WA0005

Secara keseluruhan, sebanyak 596 kes baharu direkodkan dalam tempoh terkini, dengan negeri lain yang mencatat jumlah tinggi termasuk Selangor (596 kes), Sarawak (332 kes), Johor (280 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (244 kes).

KKM menjelaskan penyakit tibi ialah jangkitan bawaan udara yang boleh merebak apabila pesakit TB paru-paru aktif batuk, bercakap atau bersin, namun penularannya biasanya memerlukan pendedahan berulang dalam tempoh lama di ruang tertutup dan kurang pengudaraan.

KKM turut mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada sepanjang Ramadan kerana peningkatan aktiviti sosial seperti kunjungan ke bazar dan majlis berbuka puasa boleh meningkatkan interaksi dalam kalangan masyarakat, walaupun Ramadan bukan punca kepada penularan tibi.

Orang ramai digalakkan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, memastikan pengudaraan baik di ruang tertutup, memakai pelitup muka jika bergejala atau berada di tempat sesak, dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu.

Menurut KKM, pendekatan berasaskan kesedaran komuniti amat penting bagi memastikan pengesanan awal, rawatan berkesan dan pencegahan penularan penyakit dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus memastikan Ramadan disambut dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera.

Sumber: Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal