PUTRAJAYA: 25 Oktober 2025 – Rakyat Malaysia di Timor-Leste kini dapat menikmati kemudahan perayauan data (data roaming) yang lebih lancar serta pada kadar berpatutan, susulan kejayaan pengendali rangkaian mudah alih utama Malaysia mengaktifkan perkhidmatan tersebut bermula 17 Oktober lalu.
Menurut Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile telah memulakan perkhidmatan perayauan data sepenuhnya di Timor-Leste, manakala YTL Communications mengaktifkannya pada 24 Oktober.
Inisiatif ini bagi memastikan rakyat Malaysia yang bekerja, melancong atau bermastautin di negara anggota ASEAN itu dapat mengakses data mudah alih dengan pengalaman yang selesa, sama seperti di negara ASEAN lain.
Kementerian menjelaskan, perkhidmatan 4G di Timor-Leste merupakan satu pencapaian besar selepas sebelum ini bergantung kepada infrastruktur 2G dan 3G.
Pelaksanaan tersebut dimuktamadkan melalui kerjasama rapat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste, dengan sokongan perkongsian perayauan strategik bersama penyedia telekomunikasi tempatan termasuk Telkomsel, Telenor dan Timor Telecom.
Malaysia turut menegaskan bahawa pencapaian ini sejajar dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN 2025, yang memberi tumpuan kepada keterangkuman digital serta pengukuhan kesalinghubungan serantau bagi mempercepat pembangunan ekonomi digital di seluruh rantau.
Dalam masa yang sama, Malaysia mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, sekali gus mengukuhkan perpaduan dan kerjasama yang lebih inklusif pada peringkat serantau.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kekal komited menyokong usaha memperkukuh integrasi serantau serta membentuk masa depan digital lebih mampan untuk seluruh rakyat ASEAN.
Sumber: Kementerian Komunikasi

