Rakaman Semula “Joy to the World” Warnai Krismas

Gambar Joy To The World

KOTA KINABALU: 15 Disember 2025 – Sempena sambutan Krismas 2025, sekumpulan penyanyi dan pemuzik tempatan bergabung menjayakan sebuah projek khas menerusi rakaman semula lagu klasik Joy to the World yang boleh didengari di Youtube, sebagai simbol kesyukuran serta hadiah istimewa kepada komuniti, khususnya di Sabah.

Pemilihan Joy to the World dibuat kerana lagu tersebut sinonim dengan perayaan Krismas serta membawa mesej universal tentang kegembiraan yang wajar dikongsi bersama. Barisan penyanyi pula dipilih berdasarkan komitmen, profesionalisme dan kesediaan mereka bekerjasama secara kolektif bagi menjayakan projek ini.

Projek berkenaan diterajui oleh Alejandro Jun Tingzon selaku penerbit projek. Beliau turut bertanggungjawab dalam proses susunan semula muzik, adunan dan mastering yang dilaksanakan sepenuhnya di Juntingzon Production, Kota Kinabalu. Rakaman vokal dijalankan di Paman Studio, Bundusan, manakala penggambaran video muzik berlangsung di sebuah studio media di Likas.

Dari segi vokal, projek ini menampilkan gabungan penyanyi berpengalaman dan bakat tempatan terdiri daripada Rhowel Rolland, Denno Roy, Rey Kimara, Nera, Imelda Gisip, Maldini Sidney, Rosario Bianis, Alister, Arddley Nicholas, Felix Agus, Rey Guntabid, Esther Applunius dan Velvet Aduk. Rhowel Rolland turut menggalas peranan sebagai pengarah vokal serta penyusun koral, dengan sokongan vokal latar oleh Velvet Aduk dan Jun Tingzon.

Gambar Barisan Artis Joy To The World
Barisan Penyanyi rakaman semula Joy To The World.

Elemen muzik digerakkan oleh Berry Ferhan (dram), Aloy Liaw (gitar bass), Cid Kahleel Sicam (papan kekunci dan string), Bryan Leong (saksofon) serta Jun Tingzon sendiri di bahagian gitar. Video muzik projek ini disusun dan disunting oleh Bob H. Nobert.

Menurut Jun Tingzon, pembikinan cover ini bertujuan menzahirkan rasa syukur atas perjalanan sepanjang tahun 2025, selain menjadi usaha “memberi kembali” kepada komuniti yang selama ini menyokong kerjaya para penyanyi, pemuzik dan pasukan produksi yang terlibat. Melalui karya ini, mereka berharap dapat berkongsi sukacita Krismas serta menyampaikan mesej kegembiraan kepada khalayak.

Keseluruhan proses pembikinan mengambil masa kira-kira sebulan bermula pertengahan November lalu. Menariknya, semua penyanyi yang terlibat tampil secara sukarela tanpa bayaran, menjadikan projek ini lambang keikhlasan, perpaduan dan semangat komuniti dalam meraikan Krismas.

Projek Joy to the World yang boleh didengari ini bukan sekadar sebuah karya muzik, malah mencerminkan kekuatan kolaborasi industri kreatif tempatan dalam menyebarkan harapan, kegembiraan dan nilai kebersamaan melalui muzik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal