Monday, December 23, 2024

Pusat perlindungan atasi pengemis kanak-kanak beroperasi akhir tahun ini

KOTA KINABALU: Projek perintis akan dilaksanakan di Kota Kinabalu dengan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara bagi mengatasi isu kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, Kerajaan Negeri sudah mengenal pasti sebuah rumah kerajaan yang tidak lagi didiami untuk dijadikan sebagai Pusat Perlindungan Sementara itu.

Katanya, pusat itu akan diselia oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am yang akan dibantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Peruntukan segera sebanyak RM250 ribu disediakan untuk mengubahsuai rumah berkenaan agar bersesuaian dengan konsep Pusat Perlindungan Sementara.

“Pusat perlindungan ini dijangka mula beroperasi akhir tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.

Ewon bertanya apakah usaha Kerajaan untuk membanteras isu kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya dan lampu trafik di sekitar Kota Kinabalu.

Dari segi pelaksanaan, Abidin menjelaskan, sasarannya adalah kanak-kanak Palauh secara bersama dengan penjaga atau berasingan akan diselamatkan semasa operasi yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara berjadual dan bersasar.

“Kanak-kanak jalanan ini akan dihantar ke Pusat Perlindungan Sementara untuk pengasingan dalam tempoh maksima sehingga tiga bulan.

“Pusat ini akan menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran mengenai pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi.
Selepas itu, kanak-kanak ini akan dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga apabila tempoh tiga bulan berakhir,” jelasnya.

Semasa penyerahan kembali kanak-kanak katanya, ibu bapa atau penjaga perlu melalui proses amaran kelakuan dan larangan mengulangi kesalahan.

Tambahnya, pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan konvensyen berkaitan hak Kanak-Kanak 1989 (Geneva) yang menekankan hak mereka untuk mendapatkan perlindungan dari sebarang keadaan yang merbahaya termasuk kemungkinan pengekploitasian terhadap kanak-kanak, serta Akta Kanak-kanak tahun 2001: Perkara 17 (k) (i) dan (ii).

Larangan kanak-kanak terlibat dengan aktiviti meminta sedekah atau mengemis serta aktiviti yang memudaratkan kesihatan atau kebajikan kanak-kanak.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan PBT akan terus melaksanakan operasi bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain- lain agensi yang berkaitan.

Beliau berkata, kehadiran kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya dan lampu trafik khususnya di Kota Kinabalu serta bandar-bandar utama seperti Tawau, Sandakan dan Lahad Datu telah mewujudkan kegusaran awam.

“Aktiviti seperti meminta sedekah, berkeliaran di kawasan tumpuan ramai dan mewujudkan setinggan dalam bandar bukan sahaja memberi imej negatif kepada negeri ini, malah memberi persepsi salah tentang usaha pembangunan negeri.

“Majoriti kumpulan ini adalah daripada suku Palauh yang merupakan kumpulan masyarakat tanpa dokumen yang secara tradisinya menghuni kawasan pesisir laut dan pulau-pulau di pantai timur negeri Sabah,” ujarnya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights