PTPTN Peruntuk RM41.5 Juta Bantu 27,674 Pelajar Masuk Universiti Awam

KUALA LUMPUR: 20 September 2025 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan bantuan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM41.5 juta kepada 27,674 pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti awam dan politeknik tahun ini.

Setiap pelajar akan menerima RM1,500 sebagai persediaan awal memasuki alam pengajian tinggi. Bantuan itu diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang membuat permohonan kemasukan melalui UPUOnline atau portal rasmi universiti awam, dengan syarat ibu bapa atau penjaga mereka merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata kemudahan itu bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga serta memastikan pelajar memulakan pengajian tanpa kerisauan kos sara hidup.

Beliau menegaskan PTPTN komited memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekangan kewangan.

Menurut sumber media, penebusan WPP boleh dibuat mulai 24 September hingga 23 November di semua kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Pelajar perlu membawa surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN bersama MyKad, dan penebusan oleh wakil tidak dibenarkan.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal