PRU15: Umno Lahad Datu kemuka lima nama
Ryio Kenji
LAHAD DATU: Kepimpinan teratas parti Umno Lahad Datu perlu diberi peluang menjadi calon untuk bertanding kerusi Parlimen Lahad Datu menjelang pilihan raya ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada 19 November depan.
Ketua Umno Bahagian Lahad Datu, Mejar (K) Halid Bin Harun berkata, mereka mengemukakan lima nama kepada pimpinan UMNO negeri dan pusat untuk dipertimbangkan.
“Mereka adalah pejuang parti yang sebenar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lahad Datu, di Dewan Sri Perdana di sini.
Beliau berharap pimpinan parti di peringkat pusat dan negeri dapat meneliti dan memilih calon yang berpotensi memberi kemenangan kepada parti Umno/BN dalam PRU15 nanti.
Dalam PRU negeri tahun 2020, BN bertanding dua kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku dan Kunak tetapi kalah kerana dikatakan kurang kesiapsiagaan.
Beliau percaya, kali ini kemenangan berpihak kepada parti UMNO kerana mereka sudah lama bersedia dan yakin rakyat sudah semakin bijak untuk memillih calon dan parti yang memenuhi aspirasi rakyat.
Beliau turut mengakui parti UMNO Lahad Datu masih kuat tetapi disebabkan pengkhianatan pemimpin parti itu sendiri yang meninggalkan BN dan beralih ke parti lain sehingga membentuk kerajaan.
Sementara itu dalam pada mesyuarat bahagian UMNO, beberapa usul dikemukakan antaranya, memohon kerajaan menyediakan peruntukan bagi pembangunan Lahad Datu termasuk menyediakan bekalan aio bersih bagi kawasan yang belum mempunyai bekalan air bersih.
Beberapa kampung juga terpaksa mengalami masalah bekalan elektrik dicuri. Mereka juga memohon kerajaan membuka semula pengambilan peneroka di Felda Sahabat, Tungku Lahad Datu.
“Lebih banyak rumah perlu dibina kerana semakin ramai penduduk di daerah ini selain mahukan kerajaan meluluskan permohonan membina Sekolah Agama (SMA) daerah itu” katanya.
Lebih 1,000 ahli UMNO menghadiri mesyuarat perwakilan itu yang dihadiri ramai ketua-ketua bahagian daerah itu.
Sijil penyertaan Sekretariat PACABA kepada sembilan orang yang dilantik melibatkan kawasan Lahad Datu, Tungku, Silam, Kunak dan Segama juga diadakan. Ini termasuklah penyerahan bendera UMNO kepada 31 orang ketua PDM.
– Tv Sabah News
0 Comments