Tuesday, December 24, 2024

PRU15: Hidup calon GRS Semporna kini ‘abnormal’

Nixon dan Abd Aziz ketika bertemu pengundi di Kg Mesra, Semporna

Nilam Raon

SEMPORNA: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Semporna, Nixon Abdul Habi tidak menyangka dalam sekelip mata kehidupannya akan berubah gara-gara pembabitannya dalam dunia politik sekarang.

“Kehidupan saya sudah bertukar menjadi abnormal bermula dari hari penamaan calon sehingga tempoh berkempen yang kini memasuki hari kelima,” katanya menambah perubahan itu termasuk dia tidak lagi boleh duduk santai seperti biasa.

Katanya, sejak dicalonkan dia perlu bekerja keras untuk meyakinkan penduduk di daerah ini supaya mengundinya. Dia perlu berusaha supaya dapat menyaingi pencabarnya daripada parti lain.

Beliau tidak menafikan, bahawa kalau mahu berjaya perlu bekerja keras kerana saingannya adalah Presiden Parti Warisan dan calon lain yang juga tidak boleh dipandang ringan.

Nixon yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Semporna berkata, slot kempennya sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan ditemani calon Barisan Nasional (BN), Abd Aziz Mohd Ibno bagi kerusi DUN Bugaya.

“Kami akan berkempen bersama-sama, di mana kawasan yang kita tidak dapat pergi jentera akan lakukan untuk membantu kemenangan kita,” katanya ketika ditemui selepas bertemu pengundi di Kampung Mesra di sini.

Sementara itu Abd Aziz yang turut bersama Nixon memberitahu sepanjang kempen mereka akan membuat yang terbaik dengan dibantu jentera untuk mendekati penduduk.

“Kita cuba memahami keperluan penduduk dan jika mereka orang Bajau kita cakap Bajau kalau mereka orang Suluk kita cuba cakap Suluk,” katanya.

Abd Aziz yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Semporna berkata, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijangka turun ke Semporna bagi melancarkan manifesto parti pada 14 November ini.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights