Projek Komuniti “Steel Steady” Terima Geran Akademi Rakan Muda RM 15,000

KENINGAU – Projek komuniti pasukan Teknologi Kimpalan Kolej Vokasional (KV) Keningau yang dikenali sebagai “Steel Steady” dipilih sebagai salah satu daripada 10 penerima geran Akademi Rakan Muda berjumlah RM15,000 anjuran Impact Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.

Pasukan berkenaan yang diketuai oleh Firdaus Sariman, guru kimpalan, bersama empat pelajar Diploma Teknologi Kimpalan, telah mengikuti siri bengkel bimbingan penerima geran.

Program ini berlangsung secara bersemuka pada penghujung Julai di Negeri Sembilan dan awal Ogos 2025 di Selangor dan telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh pada malam terakhir melalui majlis khas.

Projek “Steel Steady” fokus kepada pembaikan dan pemulihan bahagian binaan awam.

Selain dapat meningkatkan mutu infrastruktur, projek itu juga bertujuan memperkasa golongan belia dengan memberikan pendedahan kemahiran kimpalan dan penyelenggaraan teknikal.

Pasukan berkenaan telah membangunkan modul latihan khas untuk golongan tanpa latar belakang vokasional, untuk membolehkan mereka mempelajari kemahiran kimpalan secara sistematik.

Dengan sokongan geran yang diterima, program latihan ini akan disasarkan kepada belia berusia antara 15 hingga 20 tahun di sekitar Keningau sebelum mereka menyertai pelaksanaan kerja-kerja pembaikan di sebuah sekolah rendah di daerah berkenaan.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menyatakan rasa bangga terhadap inisiatif pasukan tersebut yang bukan sahaja memanfaatkan kemahiran vokasional untuk membantu komuniti, malah turut mendidik dan menggalakkan penyertaan belia sebagai sukarelawan.

Beliau menegaskan, usaha itu membuktikan pendidikan vokasional berupaya membangun modal insan sekali gus menanam nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal