KOTA KINABALU: 13 Februari 2026 – Program Ziarah Seni Madani terus diperkasa sebagai inisiatif kebajikan untuk membantu penggiat industri kreatif yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup, khususnya golongan veteran seni di seluruh Malaysia.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, berkata program berkenaan dilaksanakan secara berterusan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan kerjasama rapat bersama rakan industri bagi mengenal pasti individu yang memerlukan bantuan sebelum lawatan dan sumbangan disalurkan.
Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga seni tanpa mengira latar belakang atau lokasi, sama ada di Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung.
“Kita keluarga industri kreatif. Bila orang kita susah, kita bantu orang kita,” katanya.

Sejak program itu dilaksanakan, lebih 400 sumbangan kebajikan telah disampaikan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan FINAS dalam menjaga kebajikan komuniti seni.
Hans berkata, pihaknya bukan sahaja turun padang ketika program rasmi atau inisiatif kerajaan, malah turut hadir pada bila-bila masa apabila diperlukan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan perlindungan sosial dalam kalangan penggiat seni, termasuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagai persediaan jangka panjang.
Katanya, menerusi pelaksanaan Akta 244 FINAS yang baharu, pihak produksi dan penyiar digesa memastikan kebajikan pekerja dan caruman perlindungan sosial dimasukkan dalam kontrak penerbitan.
“Jangan tunggu waktu susah baru cari perlindungan. Kita kena jaga masa depan sendiri,” ujarnya.
Program Ziarah Seni Madani disifatkan sebagai antara langkah proaktif FINAS dalam mewujudkan ekosistem industri kreatif yang lebih prihatin, mampan dan berdaya tahan, selaras usaha memperkukuh kesejahteraan warga seni negara.
