Program Bulan Dakwah Perkukuh Nilai Islam Dan Perpaduan Ummah Di Sabah

Kota Kinabalu, 6 Julai 2025 – Program Bulan Dakwah 2025 yang dilancarkan di Sabah bukan sekadar acara keagamaan tahunan, sebaliknya merupakan inisiatif bersepadu untuk memperkukuh nilai Islam, mempertingkatkan amalan ibadah dan memupuk perpaduan ummah di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata program yang berlangsung sepanjang bulan Muharam hingga Rabiulawal ini merupakan platform terbaik dalam menyemarakkan dakwah Islamiah menerusi pendekatan inklusif dan menyeluruh. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, semasa majlis perasmian yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.

Menurut Hajiji, pelaksanaan program ini bukan sahaja menggalakkan peningkatan amalan ibadah secara konsisten, malah menekankan perpaduan, kerja berpasukan, dan pengukuhan ukhuwah dalam masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Antara pengisian utama program termasuk Wacana Pemikir, Ceramah Agama, Kursus Muamalat, Bicara Wanita, Fiqh Kenegaraan, Street Dakwah, serta Kembara Maulidur Rasul, yang disifatkan mampu memberikan impak positif kepada masyarakat secara menyeluruh.

Kerajaan negeri, katanya, amat menggalakkan penglibatan semua pihak dalam menjayakan program dakwah bersepadu ini, termasuk agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, dan pihak media.

“Program ini harus dilihat sebagai wahana membentuk masyarakat yang seimbang dari aspek rohani, jasmani, emosi, dan intelek, selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dan konsep Malaysia Madani,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada para ilmuwan dan penceramah yang menyumbang dalam program, termasuk Timbalan Mufti Negeri Pahang, Sahibul Fadhilah Dato’ Ustaz Badli Shah Alauddin, yang menyampaikan kupasan menarik dalam Wacana Pemikir mengenai pendekatan dakwah menerusi karya tokoh agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) atas penganjuran program yang dianggap bertepatan dengan usaha memperkukuh pembangunan insan dan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Sumber, Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal