KOTA KINABALU: 3 Oktober 2025 – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih pendekatan bertenang dalam menghadapi suasana politik semasa, termasuk selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar dari gabungan itu.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, gabungan tersebut tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan, sebaliknya memberi keutamaan kepada ketenangan dan strategi yang tersusun menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Menurutnya, setiap masalah mempunyai penyelesaian tersendiri dan keputusan yang diambil secara tenang biasanya lebih baik untuk memastikan hala tuju politik yang stabil.
Mengenai hubungan dengan parti yang telah meninggalkan gabungan, Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah menegaskan, persahabatan tetap dikekalkan walaupun wujud perbezaan pendirian politik.
Katanya, budaya politik di Sabah perlu mencerminkan nilai persaudaraan, di mana perbezaan pandangan bukan alasan untuk bermusuhan.
Menurutnya, mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Rabu lalu turut memuktamadkan bahawa keanggotaan STAR dan SAPP dalam gabungan itu tamat selepas kedua-dua parti memilih untuk bertanding menggunakan lambang masing-masing.
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu turut membincangkan persiapan gerak kerja GRS, termasuk rundingan agihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH).
STAR yang dipimpin Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan SAPP yang dipimpin Datuk Seri Yong Teck Lee sebelum ini menyatakan pendirian bertanding dengan lambang parti masing-masing kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi antara GRS dan PH.
Sumber: Sabah Media