KOTA KINABALU: 29 September 2025-Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dan yakin mampu menjadi pilihan rakyat.
Pemangku Presidennya, Priscella Peter berkata beberapa lagi kawasan masih dalam penelitian, namun KDM sudah bersedia menghadapi PRN17 walaupun dianggap parti kecil oleh sesetengah pihak.
Katanya, pelbagai isu pembangunan yang membelenggu negeri itu telah menimbulkan kemarahan rakyat, sekali gus menyemarakkan lagi sentimen tidak puas hati yang semakin jelas dapat dilihat di lapangan dan di media sosial.
Priscella berkata, rakyat kini lebih mengutamakan parti tempatan, justeru KDM menawarkan dirinya sebagai pilihan yang akan bergerak solo pada PRN17.
Beliau yakin KDM akan menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas PRN17, sama ada secara dominan atau sebagai ‘kingmaker’ yang menentukan pembentukan kerajaan.
Menurut Priscella, sudah tiba masanya Sabah ditadbir oleh sebuah kerajaan inklusif, berdaya saing, teratur dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau yakin rakyat Sabah berani membuat perubahan, sebagaimana terbukti sebelum ini, dan suara mereka yang dahagakan pembaharuan akan bergema pada PRN17.
Sumber: Kupi-kupi fm