PRN Sabah: Rakyat Wajar Nilai Semula Kejujuran GRS, Bukan Terpedaya Dengan Slogan Kejayaan

LIBARAN: 8 Oktober 2025 – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dianggap sebagai peluang terbaik untuk rakyat menilai semula kejujuran dan prestasi sebenar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bukannya memberi mandat semula kepada pentadbiran yang gagal menzahirkan kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangan BNCom Libaran, Shariff Ismarhafiz Sh Abd Rahman, menegaskan bahawa rekod pentadbiran GRS tidak wajar diukur hanya melalui angka kejayaan atau kempen promosi semata-mata. Katanya, meskipun kerajaan negeri mendakwa mencapai 94 peratus kejayaan pelaksanaan Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ), hakikat di lapangan menunjukkan rakyat masih bergelut dengan kadar pengangguran tertinggi di Malaysia iaitu 7.7 peratus, lebih dua kali ganda daripada purata nasional.

Menurut beliau, angka kejayaan yang diwar-warkan tidak mencerminkan realiti sebenar apabila sebahagian besar anak muda Sabah masih terpaksa bekerja di bawah kemampuan mereka, mengambil kerja sambilan, atau berhijrah ke Semenanjung untuk mencari rezeki. Keadaan itu mencerminkan jurang ketara antara naratif kemajuan dan kehidupan sebenar rakyat.

Shariff menilai, GRS lebih menumpukan kepada pengurusan persepsi berbanding menyelesaikan masalah struktur ekonomi negeri. Dasar pembangunan tenaga kerja juga dilihat tidak seiring dengan keperluan industri baharu, manakala pelaburan bernilai tinggi gagal menarik impak besar terhadap penciptaan pekerjaan.

Beliau menyifatkan keadaan tersebut sebagai bentuk “kemiskinan peluang”, di mana negeri yang kaya dengan sumber alam masih miskin dalam menyediakan ruang pekerjaan dan masa depan yang stabil untuk rakyatnya. Setiap tahun ribuan graduan dihasilkan, namun pasaran kerja tempatan tidak mampu menampung mereka, satu keadaan yang menurutnya mencerminkan kegagalan dasar dan kelemahan hala tuju pentadbiran negeri.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau menegaskan keperluan kepada kerajaan baharu yang mempunyai visi jangka panjang serta berani melakukan perubahan struktur termasuk penubuhan Majlis Pembangunan Modal Insan Sabah. Badan itu dicadangkan bagi menyelaras sistem pendidikan, latihan TVET, serta memenuhi permintaan sebenar industri selain menarik pelaburan berasaskan teknologi dan ekonomi digital.

Beliau menambah, rakyat Sabah perlu menilai semula kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada dengan berpandukan realiti kehidupan, bukan angka yang bersifat kosmetik. Kadar pengangguran 7.7 peratus, katanya, bukan sekadar statistik ekonomi tetapi simbol kekecewaan rakyat terhadap kegagalan pentadbiran dalam membina keyakinan dan masa depan negeri.

Beliau menyeru agar pembubaran DUN kali ini dijadikan medan untuk menghentikan kitaran kegagalan yang sama, serta memilih kepimpinan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

Katanya, sejarah akhirnya akan menilai antara “94 peratus persepsi” dan “7.7 peratus realiti” – ukuran sebenar antara propaganda dan kejujuran dalam pentadbiran.

Sumber: UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal