KOTA KINABALU: Cubaan melabelkan Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan sebagai tidak menentu atau tidak konsisten adalah mengelirukan serta tidak jujur dari sudut intelektual, kata Ketua Penerangan parti, Anuar Ghani Gilong.
Tegasnya, naratif sedemikian agak keterlaluan mengambil ringan realiti politik Sabah dan memperlekeh tanggungjawab sebenar kepimpinan dalam suasana pecahan pasca pilihan raya.
“Prinsip “Sabah untuk Sabahan” tidak pernah berganjak. Ia bukan slogan bermusim atau laungan politik sementara, sebaliknya teras perjuangan STARSABAH sejak penubuhannya,” ujarnya.
Menurut Anuar, apa yang berubah hanyalah susunan politik selepas pilihan raya, yang menuntut pendekatan matang, pertimbangan strategik dan keutamaan terhadap kebajikan rakyat – bukan ketegaran ideologi yang terpisah dari realiti kepentingan rakyat.
Beliau menegaskan, komitmen Dr. Jeffrey terhadap hak, autonomi dan tadbir urus sendiri Sabah berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal utuh sejak puluhan tahun.
“Prinsip ini tidak terhakis hanya kerana keperluan untuk berunding, berinteraksi dan membentuk kerjasama strategik demi mengelakkan kelumpuhan pentadbiran dan ketidakstabilan politik,” katanya.
Jelas Anuar, keputusan STARSABAH untuk keluar dari GRS sebelum PRN17 merupakan pendirian berprinsip bagi menegaskan bahawa pilihan raya negeri Sabah harus diterajui oleh parti tempatan.
“Pendirian itu tidak pernah ditinggalkan. Namun selepas mandat rakyat dizahirkan melalui peti undi, tanggungjawab kepimpinan menuntut keutamaan diberikan kepada kestabilan, kesinambungan pentadbiran dan kebajikan rakyat Sabah,” katanya.
Anuar menekankan, sokongan terhadap kerajaan negeri tidak bermaksud tunduk, menyerah atau menggadaikan prinsip, justeru STARSABAH kekal sebagai suara semak dan imbang yang bebas dan tegas, bersedia bersuara serta bertindak apabila kepentingan Sabah terancam – sama ada oleh parti nasional atau rakan politik.
“Pendirian ini disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi STARSABAH dalam mesyuarat terakhirnya bagi tahun ini pada 22 Disember,” katanya.
Jelasnya, kematangan politik tidak seharusnya diukur melalui sandiwara, sindiran penghinaan atau provokasi, tetapi melalui kemampuan untuk melindungi rakyat dari ketidakstabilan dan kekosongan kuasa.
“Memilih menjadi pembangkang demi simbol, sedangkan kerajaan memerlukan kesatibilan untuk berfungsi, bukanlah satu keberanian – sebaliknya satu pengabaian tanggungjawab,” katanya.
Merujuk kepada sindiran usia dan dakwaan bahawa pilihanraya Sabah ke 17 merupakan “pilihan raya terakhir” bagi Dr Jeffrey, Anuar berkata, sejarah jelas menunjukkan bahawa kepimpinan dinilai berdasarkan kebijaksanaan, konsistensi dan keberanian berprinsip, bukan faktor usia.
“Dr Jeffrey kekal sebagai antara tokoh paling berpengalaman dan konsisten dalam memperjuangkan hak Sabah, jauh sebelum MA63 menjadi wacana arus perdana,” katanya.
Beliau menambah, perjuangan Sabah bukan persembahan bermusim tetapi satu usaha jangka panjang yang menuntut pemikiran strategik, ketahanan dan keberanian membuat keputusan yang sukar – bukan permainan politik.
“Sabah tidak memerlukan politik ejekan atau permainan kuasa. Sabah memerlukan kepimpinan yang berprinsip, matang dan bertanggungjawab,” katanya.
