KOTA KINABALU: 24 Januari 2025-Perjanjian sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia yang ditandatangani pada Jun 2023 kini mencetuskan kebimbangan di Sabah, susulan dakwaan bahawa sebarang persefahaman berkaitan penentuan sempadan negeri itu dibuat tanpa penglibatan dan persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Presiden Parti STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, berkata “Sebarang keputusan atau dakwaan penyelesaian isu sempadan yang melibatkan Sabah adalah tidak sah sekiranya dibuat tanpa mematuhi Perlembagaan Persekutuan.”
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap laporan bahawa isu sempadan telah dipersetujui melalui rundingan tertutup antara kerajaan tanpa penyertaan wakil Sabah.
“Sempadan kita bukanlah suatu ihsan diplomatik untuk ditukar ganti demi hubungan baik,” tegas beliau.
Dr Jeffrey menegaskan bahawa Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan bahawa sebarang perubahan sempadan negeri memerlukan kelulusan Parlimen, persetujuan nyata DUN Sabah serta perkenan Majlis Raja-Raja.
“Ini adalah mekanisme perlindungan, bukan sekadar formaliti teknikal seperti yang kelihatan dilayan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Sabah adalah rakan pengasas Persekutuan Malaysia dan tidak boleh dilayan sebagai wilayah pinggiran.
“Keputusan yang mentakrifkan tanah atau perairan kami, khususnya Blok Ambalat atau sempadan maritim Sebatik, mesti melibatkan Sabah dari awal. Melayan kami sebagai pihak yang difikirkan kemudian adalah seolah-olah memperlekeh semangat federalisme itu sendiri,” katanya.
Dr Jeffrey menekankan bahawa ketiadaan bantahan awam tidak boleh ditafsirkan sebagai persetujuan, sambil menuntut pendedahan penuh semua dokumen berkaitan, termasuk teks perjanjian, peta rasmi dan rekod lengkap.
“Kami tidak mahukan ringkasan atau jaminan kosong yang tidak membawa makna kepada kami,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri Sabah memanggil satu Sidang Khas DUN untuk membolehkan isu ini dibahaskan secara terbuka.
Beliau juga mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen dengan perwakilan Sabah yang kukuh bagi meneliti status perundangan sebarang persefahaman dan memastikan pematuhan kepada Perlembagaan.
“Pendekatan ini bukan berpunca daripada sikap bermusuhan terhadap Indonesia, tetapi daripada kesetiaan kepada Perlembagaan dan maruah diri,” tambahnya.
Isu ini timbul susulan perjanjian sempadan maritim Malaysia–Indonesia yang ditandatangani pada Jun 2023 melibatkan Laut Sulawesi dan Selat Melaka, yang menurut beberapa pihak di Sabah memerlukan penjelasan lanjut mengenai implikasinya terhadap hak kedaulatan negeri, termasuk kawasan Blok Ambalat (ND6 dan ND7) dan perairan berhampiran Pulau Sebatik.
