SEMPORNA: 18 Julai 2025 – Kecekapan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus membuahkan hasil apabila berjaya menggagalkan dua kegiatan penyeludupan berasingan membabitkan hasil laut dan minyak sawit mentah (CPO) di perairan Pantai Timur Sabah.
Dalam operasi pertama yang dijalankan sekitar jam 6.30 pagi pada 17 Julai lalu, hasil risikan telah membawa kepada penahanan empat bot di perairan Pulau Sibangkat, Semporna. Lapan individu warga asing berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan selepas didapati cuba menyeludup masuk 824 ekor udang lipan dan udang karang dari Filipina ke Sabah tanpa dokumen sah daripada Jabatan Perikanan.
Anggaran nilai rampasan hasil laut tersebut mencecah RM116,290 dan kes kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
Dalam operasi berasingan yang dijalankan secara bersepadu bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu, PPM turut menumpaskan cubaan menyeleweng kira-kira 600 liter minyak sawit mentah. Seorang lelaki dipercayai dalang utama ditahan, manakala lori jenis Isuzu yang membawa tangki dan tong berisi CPO turut disita. Rampasan ini dianggarkan bernilai RM124,100.
Dengan kejayaan terbaharu itu, jumlah rampasan berkaitan penyelewengan CPO oleh PPM Sabah sejak Januari kini mencecah RM12.47 juta.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmen mereka dalam membanteras jenayah penyeludupan demi menjaga keselamatan perairan negara serta kestabilan ekonomi tempatan.
Sumber: Kenyataan Pasukan Polis Marin Wilayah 4